SEKURANG-kurangnya enam orang terbunuh, 20 cedera manakala 56 masih hilang dalam kebakaran besar di sebuah pusat beli-belah di Karachi, Pakistan, menurut pihak berkuasa, ketika pasukan bomba berusaha mengawal kebakaran itu.
Kebakaran tersebut tercetus di pusat beli-belah Gul Plaza, sebuah kompleks komersial yang padat, dan berterusan selama beberapa jam. Menjelang awal pagi Ahad, pihak berkuasa memaklumkan bahawa kira-kira 30 peratus kebakaran berjaya dikawal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Selatan, Syed Asad Raza, berkata kepada akhbar Dawn bahawa angka korban meningkat daripada tiga kepada lima orang. Yayasan Edhi, sebuah kompleks perubatan, kemudian mengesahkan kematian keenam menerusi satu kenyataan.
Pegawai penyelamat memaklumkan pusat beli-belah itu menempatkan kira-kira 1,200 kedai, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa masih terdapat mangsa yang terperangkap di dalam bangunan. Yayasan Edhi berkata sebahagian struktur bangunan runtuh akibat kepanasan melampau kebakaran, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.

Pegawai polis bahagian Garden, Mohsin Raza, berkata siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di salah sebuah kedai sebelum merebak dengan pantas ke seluruh kompleks.
Beliau berkata punca sebenar kejadian perlu ditentukan melalui siasatan terperinci dan memberi amaran bahawa struktur bangunan perlu diperkukuh bagi mengelakkan kerosakan lanjut.
Presiden Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan nyawa dalam tragedi itu.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh PTV, Sharif mengarahkan pihak berkuasa mengambil “segala langkah yang perlu” bagi melindungi nyawa dan harta benda, menyalurkan bantuan kepada peniaga terjejas serta memastikan rawatan perubatan diberikan kepada mangsa yang cedera.
Zardari pula menggesa kerajaan wilayah Sindh, yang beribu kota di Karachi, supaya menyediakan “bantuan segera dan segala bantuan yang diperlukan”, sambil menegaskan bahawa “tiada usaha harus dibiarkan terlepas dalam menyediakan kemudahan perubatan terbaik kepada mangsa yang cedera.”


