Remaja 16 tahun didakwa cederakan bekas OCPD Dang Wangi di Kampung Sungai Baru

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman di Kampung Sungai Baru sewaktu operasi pengosongan bangunan yang mencetuskan kekecohan, tiga bulan lalu.

Remaja terbabit mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Farahain Roslan.

Dia didakwa menghalang penjawat awam itu menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan kira-kira jam 10.50 pagi hingga 11.14 pagi di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu.

Remaja itu juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan tujuan menakutkan Sulizmie yang menjalankan kewajipannya pegawai pemerintah ketika itu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee manakala remaja terbabit diwakili peguam bela Muhammad Najib Ahmad.

Majistret Nur Farahain kemudian membenarkan remaja itu dibebaskan dengan jaminan RM500, dan memerintahkan untuk remaja terbabit mengemukaan laporan akhlak kepada mahkamah pada 4 Februari depan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, remaja terbabit turut didakwa bersama enam individu lain atas tuduhan  menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang iaitu menentang proses notis pengosongan walaupun telah diarahkan bersurai mengikut undang-undang pada waktu, lokasi dan tarikh sama.

Selain remaja 16 tahun itu, mereka yang didakwa atas tuduhan tersebut ialah Mohd Sopirman Mohd Yunus, 31; Muhammad Redzuan Kamal Abdul Rahman, 19; Muhammad Fallah Islahudden Shah Abdul Fattah, 20, dan Muhammad Azhar Salleh, 36 dan seorang lagi remaja berusia 17 tahun.

Seorang lagi tertuduh, Ariffin Abu Bakar, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali. Kedua-dua prosiding tersebut dijalankan secara tertutup kerana ia membabitkan remaja bawah umur.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhi hukuman denda RM3,500, gagal membayar enam bulan penjara ke atas Mohd Sopirman, Muhammad Redzuan, Muhammad Fallah dan Muhammad Azhar selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham, manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Farith Emier Farhan Mormi, Muhammad Najib Ahmad dan Nur Asniqeen Mohd Sultan.

Majistret Nurul Izzah turut menetapkan tarikh 4 Februari depan untuk penyediaan laporan akhlak remaja berusia 17 tahun dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM500.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk serahan dokumen bagi Ariffin yang mengaku tidak bersalah dan dia dibebaskan dengan jaminan RM2,800 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru bertukar kecoh apabila sekumpulan individu mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.

Ketika kekecohan itu, Sulizme mengalami kecederaan pada bahagian muka susulan kekecohan akibat rempuhan sekumpulan individu yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img