Polis mengesahkan identiti seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun rentung selepas sebuah terbakar di kawasan tebing Pantai Sungai Lurus, Senggarang, semalam.
Ketua Polis Daerah Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ia merupakan hasil siasatan awal, namun pengesahan rasmi identiti rangka manusia itu akan disahkan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Katanya, semalam lebih kurang pukul 5.28 petang, anggota bertugas Balai Polis Senggarang, Batu Pahat telah menerima maklumat kejadian daripada pihak bomba menyatakan terdapat sebuah kereta bersama seorang mangsa telah rentung.
“Siasatan awal, kereta ditemui dalam keadaan terbakar dan dipercayai terdapat satu rangka manusia turut rentung di tempat duduk pemandu.
“Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan kepada Sub Inspektor Abriza Bin Yaakub, Ketua Polis Balai Senggarang, Batu Pahat di talian 019-7275995 atau ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999.


