
PENULIS sokong 100 peratus kenyataan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat bahawa beliau tidak akan menarik balik cadangannya supaya gadis bawah umur terlibat dalam kes rogol atas dasar suka sama suka turut dikenakan tindakan.
Betul la kata beliau, ia pandangan peribadi…terserah kepada kerajaan sama ada mahu mengambil perhatian atau tidak. Lagipun bagi penulis , kenyataan Mohd Yusoff bukannya dibuat tanpa fakta tapi berdasarkan siasatan polis di Kelantan yang mendapati sebahagian besar kes rogol bawah umur berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilan apabila hanya seorang didakwa di mahkamah.
Cadangan Mohd Yusoff turut disokong oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman dan Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman, maknanya apa yang Mohd Yusoff cakap itu ada benarnya.
Jadi agak menghairankan apabila ada pihak-pihak tertentu melatah sehingga ada yang minta supaya Mohd Yusoff dikenakan tindakan, ada yang menganggap beliau tidak sensitif terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, malah bercanggah dengan prinsip perlindungan mangsa yang menjadi asas undang-undang rogol statutori.
Mohd Yusoff bercakap berdasarkan kepada kes polis sepatutnya mereka yang menentang cadangan beliau, kajilah dulu, bukannya terus membuat kesimpulan. Kenapa mereka tidak bertemu Mohd Yusoff buat perbincangan, suruh bentangkan kes-kes yang beliau maksudkan.
Penulis tidak menafikan bahawa,hubungan seksual dengan gadis di bawah 16 tahun tetap dikira sebagai rogol walaupun dengan ‘persetujuan’. Undang-undang ini wujud kerana kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti sah untuk memberi persetujuan.
Tetapi zaman sudah berubah. Kalau tengok kes-kes rogol bawah umur sebahagian disebabkan oleh gadis itu sendiri. Mereka berkenalan dengan lelaki melalui media sosial yang kemudiannya dituduh merogol, walaupun sebenarnya atas kerelaan – suka sama suka. Ada kes ‘dirogol berkali-kali’ setiap kali bertemu dan ada pula yang mengaku kepada ibu bapa… tak cakap pun kena rogol tapi mengaku ‘melakukan hubungan seks’
Malah sudah banyak kes yang menyaksikan gadis itu yang ‘cari penyakit’ hingga ada yang sanggup naik bas beratus-ratus kilometer mahu berjumpa dengan sang kekasih, bila berlaku apa-apa… lelaki pula yang salah. Justeru undang-undang sedia ada harus dikaji semula.
Hujah mengatakan ramai yang menjadi mangsa adalah tidak matang atau belum mampu berfikir dengan betul juga boleh dianggap sudah tidak relevan lagi. Kerana sekarang zaman teknologi. Kalau mereka yang di bawah umur ini bijak mencari kekasih melalui media sosial, tak kan mereka tidak cari apa kesan atau bahaya berjumpa orang yang tak dikenali.
Selain itu hampir setiap masa ada sahaja kes mahkamah atau kes rogol yang dilaporkan oleh media massa melibatkan gadis bawah umur. Tak kisah dalam facebook, Instagram, X atau tiktok sering sahaja ada paparan berkaitan kes itu termasuklah nasihat daripada pelbagai pihak.
Penulis boleh terima kalau ia benar-benar kes rogol, termasuklah kalau ada gadis bawah umur yang diperdaya melalui perkenalan kali pertama dibawa ke sesuatu tempat dan dirogol tanpa kerelaan. Begitu juga bila ada kes perangai lebih rendah daripada haiwan seperti merogol anak kandung, adik sendiri, anak tiri dan kes-kes seumpamanya memang layak dihukum tanpa ada kompromi.
Gadis itu betul-betul harus dibela tetapi apa yang dikatakan Ketua Polis Kelantan itu ialah ‘suka sama suka’ walaupun tahu bahayanya. Berapa banyak kes berlaku dalam bilik darjah melibatkan antara pelajar sekolah? Berapa banyak kes gadis sanggup keluar malam-malam jumpa dengan orang yang pertama kali dikenali melalui media sosial? Berapa ramai gadis bawah umur yang sengaja ‘memangsakan diri’ kepada mat rempit?
Bila pergi ke mahkamah hanya lelaki dihukum manakala si gadis bebas begitu sahaja. Sebab itulah Awang sokong kenyataan Ahmad Fauwaz yang menegaskan, hukuman terhadap pesalah kes rogol bawah umur ketika ini dilihat tidak menyelesaikan permasalahan yang dihadapi malah dilihat berat sebelah kerana mengenakan hukuman terhadap kaum lelaki sahaja.
“Walaupun undang-undang menganggap persetubuhan dengan individu di bawah umur 16 tahun sebagai rogol, tanpa mengira persetujuan, ia menimbulkan persoalan dari sudut keadilan dan keberkesanan undang-undang kerana pihak wanita yang turut bersetuju tidak dikenakan hukuman.
“Situasi ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa undang-undang bersifat berat sebelah kerana hanya menghukum satu pihak sahaja walaupun kedua-duanya bersalah secara moral. Justeru, ia menuntut penelitian semula terhadap undang-undang berkaitan jenayah rogol bawah umur suka sama suka sebagai salah satu agenda islah dan reformasi perundangan negara,” katanya dalam kenyataan.
Penulis bersetuju apabila beliau berhujah, “Dalam konteks rogol bawah umur suka sama suka, walaupun undang-undang sivil memberikan perlindungan kepada mangsa wanita, ia tidak seharusnya melepaskan mereka daripada tanggungjawab moral dan hukuman jika mereka turut menyumbang kepada perlakuan jenayah.’’
Dr Mohd Sukki berkata, tidak adil jika hanya lelaki dihukum sementara perempuan dilepaskan sedangkan kedua-duanya bersetuju melakukan perbuatan terlarang itu.
Ini kerana katanya, Islam memandang zina sebagai dosa besar dan larangan mendekati perbuatan terkutuk itu juga bersifat menyeluruh iaitu bukan sekadar mengharamkan tetapi segala jalan yang boleh membawa kepada zina turut dicegah.
Abdul Rahman pula berkata, isu ketidakadilan undang-undang dalam kes tersebut turut memerlukan kepada usaha penelitian semula bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan kepada pesalah terlibat.
“Saya kira isu ketidakadilan yang hanya menyaksikan pesalah lelaki sahaja dikenakan hukuman dalam kes rogol suka sama suka ini manakala gadis pula terlepas telah lama menjadi perbincangan ramai.
“Jadi, saya melihat cadangan supaya dipertimbangkan gadis yang terlibat dalam kes rogol bawah umur secara suka sama suka turut dipertanggungjawabkan dan tidak sepatutnya dilepaskan sepenuhnya daripada kesalahan di bawah undang-undang sedia ada.
“Ini kerana secara dasarnya, umur antara 10 hingga 13 tahun sudah mencapai akil baligh dan kalau difikirkan mereka boleh dikenakan hukuman tetapi ia juga perlu diteliti supaya tidak bercanggah dengan undang-undang atau peraturan dan jika berlaku percanggahan saya rasa perlu dibuat pindaan,” ujarnya.
Dalam soal hukuman, bagi penulis hukuman yang dikenakan bukan bermaksud dipenjarakan sebaliknya dihantar ke pusat pemulihan akhlak untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan. Kalau gadis terlibat dilepaskan begitu sahaja, tidak mustahil selepas itu akan ada lagi lelaki yang akan dihukum kerana ‘suka sama suka’.
Mungkin ada mereka tersasar akibat masalah dalam kehidupan terutamanya melibatkan keluarga, pengaruh kawan-kawan dan sebagainya. Mereka bukan jahat, mereka hanya ‘tersesat’. Tak kan kerana ‘suka sama suka’ perlu jalani hukuman penjara. Perlu ada hukuman yang boleh memberi pengajaran dan keinsafan, menghukum seperti mana dikatakan oleh Mohd Yusoff wajar dipertimbangkan.
Oleh itu adalah menjadi tugas kerajaan untuk mengkaji cadangan Ketua Polis Kelantan tersebut memandangkan seperti mana kata Ahmad Fauwaz, “Hukuman yang adil dan setimpal ke atas kedua-dua pihak yang bersalah akan memberikan pengajaran dan pendidikan yang lebih efektif.
Itulah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Mohd Yusoff, bukannya seperti sesetengah pihak yang terus melompat mendengar pandangan beliau tanpa mengkaji secara mendalam. Lagipun penulis hendak tahu juga apa kelompok itu buat dalam usaha memberi keinsafan kepada anak-anak gadis supaya tidak menjadi ‘mangsa suka sama suka’. Tak kan hanya bijak mengkritik sahaja tanpa ada cadangan?


