KETUA pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mendakwa, dalam tempoh 24 jam selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet semalam pelbagai pihak membangkitkan rasa curiga terhadap hala tuju sebenar langkah tersebut.
Sambil menyatakan beliau menerima banyak maklum balas dan keresahan, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, rakyat berhak bertanya, adakah rombakan Kabinet ini akibat tekanan politik atau habuan kuasa?
‘’Persoalan ini berasas, terutamanya apabila kementerian-kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah, kini dikuasai satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Pas turut membangkitkan isu yang sama berikutan tempat Dr Zaleh Mustafa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) digantikan oleh Hannah Yeoh yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan. Manakala Nga Kor Ming kekal sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu kata Hamzah, penjelasan secara telus perlu diberikan berikutan perubahan kementerian strategik seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menjadi tunjang kepada pengukuhan ekonomi khususnya dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS) yang kebanyakannya adalah bumiputera
Dalam rombakan semalam, Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga Menteri Sumber Manusia dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
‘’Lebih menimbulkan keraguan apabila menteri-menteri yang prestasi serta tindak-tanduknya dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat terus dikekalkan. Begitu juga dengan pelantikan baharu individu yang dipertikaikan latar belakangnya,’’ kata Hamzah.
Hamzah menegaskan, rombakan Kabinet bukan sekadar soal menukar wajah, tetapi ia mestilah menzahirkan keupayaan kerajaan menjawab kegagalan sedia ada, bukannya semata-mata demi untung secupak hingga rugi segantang kerana yang menanggung kesannya adalah rakyat dan negara.


