Rombakan Kabinet satu keperluan, setiap keputusan PM adalah demi kepentingan negara – Dr.Zaliha

DATUK Seri Dr Zaliha Mustafa yang digugurkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)  menyifatkan rombakan Kabinet satu keperluan memastikan pentadbiran kerajaan Madani kekal stabil, berfungsi dengan berkesan dan terus fokus kepada agenda reformasi yang telah digariskan.

Sehubungan itu katanya, setiap keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berlandaskan kepentingan negara.

 Beliau berkata, sepanjang dua tahun menjadi menteri tersebut, pelbagai isu legasi yang berlarutan berjaya ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.

“Melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI), kerajaan Madani di Wilayah Persekutuan juga telah berjaya menoktahkan miskin tegar, sekali gus membuktikan pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan menerusi inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan.

‘’Ia termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan,’’ katanya.

Dr Zaliha mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu dan berharap agenda pembangunan Wilayah Persekutuan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan Madani yang baharu dilantik dan menegaskan akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda Madani selain dasar-dasar reformasi yang sedang serta akan dilaksanakan demi negara dan rakyat.

Dr Zaliha merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh hampir dua tahun beliau menerajui portfolio itu.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam kerajaan Madani.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img