Rumah keluarga ADUN Seremban Jaya musnah dalam kebakaran

RUMAH keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, Datuk P Gunasekaran di Kampung Baru Rahang, Seremban musnah dalam kebakaran malam tadi.

Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam ketika semua penghuni tiada di rumah berkenaan kerana keluar makan malam.

Gunasekaran ketika dihubungi media berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi penduduk setempat pada jam 9.40 malam.

“Sebenarnya rumah itu kini didiami adik saya bersama isteri serta dua anak mereka dan ketika kejadian, kesemua mereka keluar makan.

“Saya pula tinggal kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian dan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kebakaran itu, saya bergegas ke lokasi,” katanya.

Gunasekaran berkata, ketika tiba di lokasi, dia mendapati hampir keseluruhan kediaman berkenaan sudah terbakar dan tiada barang yang dapat diselamatkan.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun sedih apabila rumah yang dibeli pada tahun 1990 itu musnah sepenuhnya.

“Saya pernah tinggal di rumah itu bersama keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradik selepas membelinya pada tahun 1990. Selepas beberapa tahun, saya berpindah ke rumah lain manakala adik saya terus menetap di situ,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Mohd Nafi Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dibantu BBP Ampangan bergegas ke lokasi.

Menurut Mohd Nafi yang juga Ketua BBP Seremban, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 135 meter persegi dengan anggaran kemusnahan 95 peratus.

“Kejadian tidak membabitkan mangsa yang cedera atau kehilangan nyawa. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img