”Rundingan di Islamabad bukan bererti perang berakhir, bukan gencatan senjata’’ -SNSC Iran

MAJLIS Keselamatan Tertinggi (SNSC)  Iran menegaskan, rundingan antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad, Pakistan selama dua minggu bermula Jumaat ini bukan bererti perang berakhir.

Sebaliknya, SNSC  berkata, Iran hanya akan menerima gencatan senjata apabila semua syarat dimuktamadkan.

 Sehubungan itu majlis tersebut menyeru rakyat Iran mengekalkan perpaduan dan sokongan terhadap proses rundingan, menyifatkan rundingan ini sebagai “lanjutan medan perang” yang memerlukan ketabahan dan kesedaran nasional.

“Jika penyerahan musuh menjadi pencapaian politik muktamad, kemenangan besar akan diraikan bersama. Jika tidak, perjuangan akan diteruskan sehingga semua tuntutan rakyat Iran dipenuhi,” tegas SNSC dalam kenyataan lapor Tasnim News Agency.

SNSC menegaskan bahawa Iran kini berada di kedudukan yang kukuh, dengan “upper hand” di medan perang, dan akan terus mempertahankan kedaulatan serta kepentingan nasionalnya.

Majlis itu juga menyifatkan keputusan AS bersetuju dengan prinsip-prinsip pelan 10 perkara Iran sebagai asas rundingan bagi menamatkan perang sebagai “kemenangan bersejarah” rakyat Iran dan paksi penentangan di rantau ini.

SNSC berkata, AS harus komited kepada 10 cadangan Iran iaitu:

*Menjamin tidak melakukan pencerobohan terhadap Iran.

*Meneruskan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz.

*Menerima pengayaan uranium Iran.

*Menarik balik semua sekatan utama dan sekunder.

*Menamatkan semua resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Lembaga Gabenor IAEA.

*Membayar pampasan kepada Iran.

*Menarik balik pasukan tempur AS dari rantau Asia Barat.

*Menghentikan perang di semua medan, termasuk terhadap penentangan Islam Lubnan.

SNSC turut  menyifatkan tempoh 40 hari perang sebagai “salah satu pertempuran gabungan paling berat dalam sejarah” dan menegaskan bahawa musuh telah menerima kekalahan yang “tidak dapat dinafikan, bersejarah dan menghancurkan.”

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img