SEKRETARIAT Gerak Gempur Media Sosial (SekPur) hari ini membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan salah laku membabitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dikaitkan dengan pemberian rasuah RM500,000 bagi projek mesin layan diri (vending machine) bernilai RM21.1 juta.
Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, laporan tersebut dibuat bagi meminta siasatan segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penganugerahan kontrak program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kepada syarikat Datasonic Group Berhad (NexG Bhd).
Menurutnya, beliau terbaca satu laporan berita menerusi portal The Malaysia Corporates bertajuk `Transaksi RM500,000 NexG-Datasonic bayar rasuah kepada Rafizi terbongkar! SPRM digesa siasat skandal Projek Vending Machine RM21.1 juta’.
Beliau berkata, antara perkara yang didedahkan dalam laporan itu adalah dakwaan pembayaran rasuah berjumlah RM500,000 kepada pihak menteri melalui seorang perantara/proksi bernama Mohd Harizan Haris daripada syarikat GFIS (M) Sdn Bhd.
Katanya, turut didedahkan penganugerahan projek sewaan 818 unit mesin layan diri (vending machine) bernilai RM21,163,296.00 yang didakwa hasil daripada aktiviti lobi dan pemberian sogokan.
Razali yang juga Setiausaha Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO) memberitahu, laporan itu turut menyebut dakwaan penglibatan pegawai tinggi Kementerian Ekonomi yang membantu dalam proses transaksi dan kelulusan kontrak tersebut.
“Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah bimbang akan berlakunya ketirisan dana awam dan penyalahgunaan kuasa di peringkat tertinggi kerajaan yang melibatkan wang rakyat berjumlah jutaan ringgit.
“Saya memohon pihak PDRM bersama SPRM untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas kesahihan transaksi bank yang dinyatakan dalam laporan tersebut,” katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Razali, pihak berkuasa juga diminta menyiasat individu-individu dan syarikat yang dinamakan iaitu Datasonic, GFIS (M) Sdn Bhd dan perantara.
Tambah beliau, siasatan telus perlu dilakukan bagi mengesahkan proses penganugerahan tender projek IPR agar ia mengikut tata cara kewangan kerajaan yang sah.
“Laporan ini dibuat demi kepentingan awam dan integriti pentadbiran negara,” jelas beliau.


