SEBARANG aduan ataupun tindakan diambil terhadap mana-mana pegawai atau agensi kerajaan mesti berasaskan undang-undang serta melalui proses siasatan yang teliti, bukan hukuman tanpa siasat atau dorongan politik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cara penyelesaian sesuatu isu seharusnya berlandaskan undang-undang dan sekiranya terdapat aduan yang benar, ia perlu dibawa ke mahkamah serta diproses sebagaimana sedang dibicarakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya tidak fikir saudara-saudara yang bekerja ini, berhempas pulas bertahun-tahun dalam semua agensi kalau ada kelemahan melampau, munasabah kita tegur. Salahnya kita perbaiki tapi jangan kita beri gambaran seolah-olah semuanya buruk,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Bloomberg dalam laporan sebelum ini mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.


