Sebutan semula kes bunuh Suri Narudin 6 Mei depan

MAHKAMAH Majistret Rembau hari ini menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula kes seorang lelaki dituduh membunuh Suri Narudin, wanita yang mayatnya ditemukan ditanam di belakang sebuah rumah di Rembau, Negeri Sembilan pada Disember lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Fidha Misjedi yang sebelum itu memaklumkan laporan penuh hasil bedah siasat dan toksikologi kes berkenaan belum diperoleh untuk diserahkan pada prosiding hari ini.

Terdahulu tertuduh, Zainizan Zainal, 52, yang memakai baju T putih dibawa ke mahkamah kira-kira jam 8.10 pagi dengan menaiki van polis.

Lelaki itu kali pertama dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin pada 26 Disember lalu atas pertuduhan membunuh Suri Narudin, 53.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh wanita itu di belakang sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi, Rembau antara 7 Disember hingga 18 Disember lalu.

Memetik laporan media sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mayat yang ditemukan dalam beg yang ditanam di belakang rumah terbabit dipercayai wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor sejak 8 Disember 2025.

Susulan penemuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 51 dan 41 tahun untuk membantu siasatan sebelum mengesahkan identiti mayat wanita itu ialah Suri berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari yang sepadan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img