`Semoga keputusan AirAsia ini menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat korporat lain’ – Menteri Agama

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan langkah syarikat penerbangan AirAsia membenarkan kru kabin wanitanya memakai hijab adalah satu keputusan yang matang dan amat disambut baik.

Beliau berkata, keputusan itu juga mencerminkan komitmen syarikat penerbangan tersebut terhadap prinsip kepelbagaian, keterangkuman dan penghormatan terhadap tuntutan agama dalam kalangan pekerja Muslimah AirAsia.

Sambil menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada syarikat penerbangan terkemuka itu, beliau menyifatkan ia sebagai satu langkah progresif dan amat dialu-alukan.

“Saya berharap keputusan AirAsia ini akan menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat korporat lain di Malaysia untuk sentiasa prihatin dan menyokong kebebasan serta hak setiap pekerja dalam menjalankan tuntutan agama mereka, selaras dengan semangat Perlembagaan negara dan nilai-nilai Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.

AirAsia semalam mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas di semua laluan penerbangan bermula tahun depan.

Polisi baharu itu selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi berterusan yang dibentuk hasil maklum balas daripada semua pihak.

Mohd Nai’m turut mengucapkan tahniah dan penghargaan khusus kepada para asatizah dan pihak yang terlibat yang telah gigih mengadakan perbincangan dan libat urus secara berterusan dengan pihak AirAsia.

Katanya, usaha murni itu merupakan kunci kejayaan dalam merealisasikan pilihan seragam berhijab yang dijangka akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2026.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img