SEORANG pesara warga emas menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan menerusi telefon atau phone scam apabila kerugian sebanyak RM399,832 selepas mangsa dikaitkan terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang berusia 67 tahun menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai ejen insurans, pegawai polis dan pendakwa raya.
Beliau berkata, mangsa diperdaya untuk membuat laporan polis secara dalam talian serta membuka akaun bank baharu untuk siasatan Bank Negara Malaysia, selain diarahkan memindahkan sejumlah wang hampir RM400,000 ke akaun berkenaan.
“Selepas transaksi dilakukan, dia sekali lagi diminta membuat pindahan wang sebagai jaminan dan untuk caj peguam. Mangsa mula curiga setelah menyemak akaun baharunya apabila mendapati wang miliknya berkurangan, tinggal berbaki RM168.
“Laporan polis telah dibuat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz turut menasihatkan orang ramai yang mengetahui modus operandi penipuan dalam talian supaya memberi peringatan kepada ahli keluarga masing-masing bagi mengelak menjadi mangsa.


