SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’ele Eizan akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di tiga DUN di negeri tersebut iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
Katanya, walaupun tempoh penggal DUN Perlis sudah memasuki tempoh matang iaitu tiga tahun yang membolehkan pilihan raya tidak perlu diadakan biarpun berlaku kekosongan luar jangka, namun beliau berpendapat berdasar perkembangan semasa PRK perlu dilaksanakan.
Rus’ele berkata, beliau berpuashati berlaku kekosongan di ketiga-ketiga tersebut apabila tiga ADUN iaitu ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim terhenti keahlian dalam Pas.
‘’Status kekosongan kerusi tersebut akan dimaklumkan SPR dalam masa terdekat. Dalam keadaan biasa berdasarkan Fasal (5) Perkara 55 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kekosongan luar jangka tersebut bila mana usia DUN telah mencecah tiga tahun atau lebih.
“Namun pada hemat dan pertimbangan saya berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku dalam negeri Perlis, saya berpuas hati bahawa tiga kekosongan luar jangka tersebut dari segi bilangan yang membentuk majoriti semua ADUN adalah terjejas.
“Dalam keadaan itu, tiga kekosongan tersebut hendaklah diisi semula bagi kepentingan kestabilan kerajaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat Speaker di Kompleks Seri Putra, Kangar, hari ini yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Urusetia Pas Perlis.
Ketiga-tiga mereka dikaitkan dengan gerakan untuk menggantikan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli daripada Pas malah beberapa laporan memetik sumber sebelum ini mendakwa lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Shukri.
Mengulas lanjut, Rus’ ele berkata, pihaknya akan mengemukakan alasan-alasan mengenai terjejasnya bilangan parti yang membentuk majoriti DUN Perlis kepada SPR.
“Saya akan menggunakan budi bicara yang diperuntukan melalui priviso kepada Fasal (5) Perkara 55 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan kepada SPR bahawa kekuatan dari segi bilangan parti membentuk majoriti semua Adun adalah terjejas.
“Dan akan meminta SPR mengadakan pilihan raya semua bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut. Alasan-alasan terjejasnya bilangan parti yang membentuk majoriti bagi DUN Perlis akan saya perincikan dalam pemakluman bertulis kepada SPR,” katanya.
Tambahnya, tempoh tiga tahun usia DUN Perlis bermula dengan mesyuarat pertama DUN pada 19 Dis 2022 dan berakhir pada 18 Dis 2025.


