TIGA individu telah diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan isu perolehan projek Tentera Darat (TD) yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.
Ketiga-tiga individu terbabit dipanggil semalam bagi membolehkan suruhanjaya itu menyemak beberapa akaun yang disyaki mempunyai kaitan dengan rasuah perolehan.
Menurut sumber, berdasarkan semakan awal yang dilakukan SPRM, wujud beberapa syarikat yang dikenal pasti kerap memperoleh projek bernilai tinggi dalam TD.
“Semakan awal terhadap keseluruhan projek berkenaan mendapati terdapat beberapa syarikat yang berulang kali memperoleh projek bernilai tinggi.
“Keadaan ini menimbulkan keraguan, namun setakat ini semakan terperinci termasuk pemprofilan syarikat-syarikat terlibat masih belum dijalankan,” kata sumber itu hari ini.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, siasatan awal mendapati untuk tempoh 2023 hingga 2025, perolehan TD yang melebihi RM500,000 melibatkan sebanyak 158 projek.
“Bagi perolehan bernilai di bawah RM500,000 pula, jumlah keseluruhan projek yang direkodkan adalah sebanyak 4,521,” katanya.
Semalam, SPRM mengesahkan telah menerima aduan serta merakam keterangan seorang aktivis Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubad berhubung maklumat yang diperolehnya berkaitan isu perolehan tersebut.
Aktivis berkenaan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 12 tengah hari bagi menyalurkan maklumat lanjut kepada pihak berkuasa.
Pada hari yang sama juga, pegawai SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk menjalankan siasatan projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) TD.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini telah mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional berlandaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


