SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu pemilik syarikat dipercayai dalang kemasukan e-waste ke dalam negara serta membekukan 14 akaun bernilai RM7.2 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua suspek berkenaan kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, SPRM telah mengesan tujuh syarikat yang mendalangi kegiatan kemasukan e-waste ini dan dua pemilik syarikat lagi akan ditangkap dalam tempoh terdekat.
“Kemasukan e-waste ini sudah berlaku sejak lima tahun lalu dan pihak terbabit sentiasa mencari jalan untuk membawa masuk barangan terlarang ini. Saya tegaskan di sini bahawa undang-undang negara tidak membenarkan kemasukan e-waste.
“Justeru, menerusi pendekatan terbaharu, SPRM turut membawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menangani isu ini kerana ia membabitkan isu rasuah dan ketirisan wang kerajaan.
“Selain itu, pakar SPRM akan membuat perkiraan kepada akaun syarikat berkenaan berapa banyak nilai keuntungan sepanjang mereka mendalangi kegiatan berkenaan,” katanya kepada media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Menurut Azam, tindakan tegas perlu diambil bagi menghalang kemasukan e-waste kerana ia menjejaskan alam sekitar.
“Jika kita tidak dapat tangkap mereka di laut atau pintu masuk (negara) memandangkan kemasukan kontena (e-waste) antara 2,000 hingga 3,000 sehari, maka kita tangkap mereka di darat. Ini yang kita cuba lakukan sekarang ini.
“Mereka ini licik menggunakan pelbagai taktik termasuk mencampur dengan barangan lain bagi mengelak dikesan,” katanya.
Media semalam melaporkan, SPRM akan memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan e-waste secara haram, susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, jumlah itu menunjukkan skala sebenar penyeludupan sisa elektronik yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan menyeluruh.


