SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi meminta seorang individu iaitu Chai Jin Shern atau James Chai untuk segera hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut suruhanjaya itu, walaupun pegawai penyiasat SPRM telah beberapa kali berusaha menghubungi beliau, James sehingga kini belum memberikan sebarang respons atau membuat pengaturan untuk tampil membantu siasatan.
“Sekiranya James Chai berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM, bukannya mengeluarkan pelbagai alasan di media massa sambil mengelakkan diri daripada berurusan secara langsung dengan proses siasatan,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
SPRM menegaskan bahawa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa penguatkuasaan adalah tanggungjawab asas setiap warganegara apabila diperlukan untuk membantu sesuatu siasatan.
Kata kenyataan itu lagi, penjelasan melalui naratif awam dan kenyataan media tidak boleh menggantikan proses perundangan dalam siasatan kes.
Justeru, SPRM menggesa James untuk segera menghubungi pegawai penyiasat dan memaklumkan perancangan beliau untuk pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“SPRM sekali lagi menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti, serta tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang,” kata kenyataan itu.
SPRM meminta James untuk segera menghubungi mana-mana pegawai penyiasat berikut tanpa berlengah bagi membincangkan pengaturan kepulangan beliau ke Malaysia untuk rakaman percakapan:
- Abdullah Sani A. Latib – +6018-286 8684
- Mohd Hafidz Halim – +60 17-504 6503
- Ahmad Rizal Samat – +60 13-433 4500
- Farahani Fauzi – +60 11-3343 5523
- Mohamed Ali M. Ahamed Ali – +60 17-300 3699


