SPRM rakam keterangan pegawai tertinggi ATM kes salah guna dana Kementerian Pertahanan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah merakam keterangan seorang pegawai kanan pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan dana Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu,  individu terbabit dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan buat masa ini tiada tangkapan dibuat.

“Individu berkenaan tiba untuk dirakamkan keterangan kira-kira jam 11 pagi. Sebarang makluman atau perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak,” katanya hari ini.

Buat masa ini, Azam berkata, hanya individu terbabit dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan siasatan yang dijalankan.

“Cukup sekadar saya nyatakan bahawa beliau dipanggil untuk membantu selesaikan satu isu ataupun dakwaan penyelewengan yang menggunakan dana,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, siasatan berkaitan dakwaan salah guna dana MINDEF yang dijalankan SPRM dijangka merungkai pembabitan seorang pegawai pengurusan tertinggi ATM.

Menurut sumber, individu terbabit kini berada dalam siasatan SPRM dan siasatan berkenaan sudah berada di peringkat akhir.

Dalam pada itu, Azam turut mengesahkan pihaknya ada menjalankan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan ATM berkaitan kes itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut berhubung siasatan yang dijalankan selain memaklumkan proses siasatan kini sudah berada di peringkat akhir.

Menurutnya, siasatan membabitkan dakwaan salah guna dana awam itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu diambil tindakan tegas sekiranya wujud elemen kesalahan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img