Suami isteri maut tercampak dalam gaung, motosikal bertembung pacuan empat roda

SEPASANG suami isteri maut tercampak ke dalam gaung selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tamparuli-Ranau, berhampiran Kampung Kapa di Tamparuli, Sabah hari ini.

Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mustofa, 44, warga Indonesia yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dan isterinya, Nur Shilla Abdullah, 37, warga tempatan yang membonceng motosikal, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda Ford Ranger Raptor, lelaki bersama seorang penumpang lelaki yang masing-masing berusia 30 tahun menghala ke arah Kota Kinabalu dari Ranau.

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pemandu itu cuba memotong kenderaan di hadapan mereka, namun bertembung dengan motosikal dinaiki pasangan suami isteri dari arah bertentangan.

“Berikutan pertembungan itu, pasangan suami isteri berkenaan tercampak ke dalam gaung, manakala motosikal mereka terseret di bawah pacuan empat roda hingga ke bahu kanan jalan.

“Psangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Noraidin berkata, pemandu pacuan empat roda itu mengalami cedera ringan manakala penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua mereka dibawa ke hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa pula dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuaran untuk bedah siasat,” katanya yang turut memaklumkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img