Suami isteri sambut Aidilfitri sehelai sepinggang, rumah sewa musnah terbakar

SEPASANG suami isteri terpaksa menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dalam keadaan serba kekurangan apabila rumah sewa mereka di Kampung Tanah Lot di Dungun, musnah dalam kebakaran pagi ini.

Mohd Ridzuan Abu Bakar, 36, berkata, dia dan isteri, Siti Zulaikha Ramli, 35, berhajat menggayakan baju berwarna merah sebagai tema hari raya tahun ini namun tidak kesampaian apabila pakaian itu turut musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 8.15 pagi.

“Kami telah membuat tempahan awal baju Melayu dan baju kurung sebelum Ramadan lagi dan tidak sabar untuk memakainya pada hari lebaran ini,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Mohd Ridzuan, beberapa persiapan lain untuk menyambut Aidilfitri turut musnah seperti pelbagai jenis biskut raya serta sejumlah duit raya yang disimpan dalam rumah berkenaan.

“Kesemua barangan berkenaan musnah dalam sekelip mata tanpa sempat diselamatkan dan kami kini tinggal sehelai sepinggang,” katanya yang tinggal berdua bersama isteri dan belum dikurniakan cahaya mata.

Pekerja swasta itu berkata, ketika kejadian dia serta isteri berada di tempat kerja masing-masing, dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakan pada jam 8.25 pagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Timbalan Penguasa Bomba II Yahaya Hanapi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.21 pagi sebelum bergegas ke lokasi tiga minit kemudian.

Beliau berkata, sebanyak 13 anggota dari BBP Dungun serta lapan anggota dari BBP Paka dikerahkan ke lokasi kejadian dengan dua jentera.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.02 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian,” katanya sambil memaklumkan rumah separa kekal itu musnah hampir 100 peratus.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img