SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Senator Datuk Salehudin Saidin dan Mufti Negeri Selangor Datuk Dr. Anhar Opir untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Baginda menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam Negeri Selangor.
Dalam kenyataan bersama, Salehudin dan Dr.Anhar berkata, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas negeri ini.
‘’ DYMM Sultan Selangor juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini. Di samping itu juga, Baginda tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan dan NGO yang berkaitan dengan LGBT di Negeri Selangor,’’ kata mereka.
Sebelum kedua-dua mereka dititahkan menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan bagi menyatakan pendirian tegas baginda berhubung dengan penganjuran “Glamping with Pride” pada 17 dan 18 Januari ini di Hulu Langat, Selangor yang dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Dalam kenyataan, mereka berkata, selaras dengan titah Sultan Selangor, MAIS dan Mufti Selangor turut menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap sebarang bentuk penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di Negeri Selangor.
‘’ MAIS dan Sahibus Samahah Mufti Selangor menegaskan bahawa agama Islam telah mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S. Perbuatan ini adalah perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT dan telah menimpakan azab ke atas kaum Nabi Luth A.S atas perbuatan tersebut.
Berikutan dengan pendirian tegas DYMM Sultan Selangor berkaitan dengan isu ini, MAIS dan Mufti Selangor menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program tersebut serta program seumpamanya di Selangor.
‘’Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor.
‘’MAIS dan Sahibus Samahah Mufti Selangor menuntut komitmen semua pihak dalam memelihara kesucian agama Islam untuk memastikan Negeri Selangor kekal harmoni dan bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam,’’ kata kenyataan bersama tersebut.


