Surau baharu, takbir rumah ke rumah meriahkan Aidilfitri di Taman Anjung Gapam

SUASANA Aidilfitri di Taman Anjung Gapam, Bemban, Melaka tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ia memandangkan umat Islam di taman itu dan kawasan sekitarnya tidak perlu lagi menunaikan solat sunat Aidilfitri dalam rumah banglo tiga bilik yang dijadikan surau sementara.

Sebaliknya mereka dapat bersolat dengan selesa di surau baharu yang dibina dengan kos RM750,000 dan mula beroperasi pada 1 Oktober tahun lalu di Jalan Persiaran Anjung Gapam 1A di kawasan perumahan tersebut.

Jaafar Idris

Ketika menyampaikan ucapan ringkas sebelum solat Aidilfitri di Surau Taman Anjung Gapam (STAG) , Pengerusinya Jaafar Idris berkata, selain peruntukan  oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM400,000 dan Jabatan Agama Islam Melaka sebanyak RM60,000, kos pembinaan itu juga adalah hasil sumbangan ahli kariah dan orang ramai.

‘’Sebelum surau itu dibina, kita berpindah sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun di rumah-rumah banglo di kawasan perumahan ini yang dijadikan surau sementara,’’ katanya.

Kapten M Farhan M Yusof (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Amirul Amir.

Sementara itu Timbalan Pengerusi STAG, Kapten M Farhan M Yusof berkata, daripada empat rumah itu, tiga rumah banglo tidak dikenakan apa-apa bayaran manakala sebuah disewa sebanyak RM800 sebulan selama 9 sebulan.

‘’Walaupun tiga rumah banglo itu tidak dikenakan sewa namun AJK surau memberikan saguhati bulanan kepada pemilik dan pada masa sama menanggung bayaran elektrik dan air serta memperbaiki sebarang kerosakan,’’ katanya.

Apapun semua itu sudah menjadi kenangan yang akan terus kekal dalam lipatan sejarah penduduk sejak surau sementara pertama beroperasi  pada 6 Jun 2021 di Jalan Anjung Akasia 6.

Kini dengan terbinanya surau baharu yang mampu memuatkan antara 200 hingga 300 jemaah dalam satu-satu masa, ia membolehkan  Ahli Jawatankuasa STAG yang diketuai oleh Jaafar dan Kapten M Farhan mengimarahkan surau itu dengan lebih rancak melalui pelbagai aktiviti keagamaan  khususnya pada bulan Ramadan lalu.

Ahli kariah Surau Taman Anjung Gapam, Bemban bergambar beramai-ramai selepas selesai program takbir ke rumah.

Antara aktiviti yang diadakan ialah solat Tarawih yang diimamkan oleh Ustaz Amirul Amir – imam bertugas yang dihantar khusus oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Ceramah Nuzul Quran, Qiamulail intensif 10 malam terakhir, tadarus dan Majlis Buka Puasa Perdana.

Hari ini dengan diimamkan oleh Ustaz Amirul, hampir 300 orang menunaikan solat sunat Aidilfitri di STAG.

Malam tadi, STAG meneruskan tradisi takbir raya rumah ke rumah yang disertai oleh 32 orang ahli kariah bermula pukul 9.15 malam hingga 12.30 tengah malam di 12 buah rumah.

Takbir rumah ke rumah itu dianggap menarik kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara penduduk tetapi juga memelihara  tradisi bagi memeriahkan malam Aidilfitri.

Selepas ini selain mencari peruntukan antara RM80,000 hingga RM100,00 bagi melengkapkan STAG dengan blok stor dan pantri, Jaafar berkata, AJK STAG juga berusaha untuk mendapat kebenaran JAIM bagi membolehkan surau itu melaksanakan solat Jumaat.

‘’Selain itu untuk sambutan Aidiladha pada tahun ini, kita bercadang melaksanakan ibadah korban. Setakat ini sebanyak enam ekor lembu akan dikorbankan,’’ katanya.

Sesungguhnya sama ada Jaafar mahupun Kapten M Farhan, kedua-dua mahu memastikan STAG bukan sahaja indah dari luar atau sekadar mempunyai ruang beribadah  selesa tetapi  lebih penting ia dijadikan platform bagi mengeratkan silaturahim sesama umat Islam dan mengukuhkan perpaduan antara penduduk di Taman Anjung Gapam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img