POLIS menahan seorang lagi suspek berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan terikat di kawasan semak berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, penahanan lelaki tempatan itu menjadikan lima individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
“Lelaki itu direman selama lima hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Serdang hari ini, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tiga suspek yang ditahan sebelum ini disambung reman tiga hari sehingga esok manakala seorang lagi suspek juga disambung reman tiga hari sehingga Sabtu ini.
“Setakat ini keputusan bedah siasat berhubung punca kematian mangsa masih belum diperolehi dan siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian itu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, misteri bau busuk di Seri Kembangan terungkai apabila polis menemukan satu jasad manusia di sini, 29 Oktober lalu.
Mangsa berusia 24 tahun dan bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang, ditemui orang awam pada jam 3.45 petang.
Susulan itu, dua bekas teman lelaki dan abang angkat kepada wanita yang ditemui mati ditahan polis pada 30 Oktober lalu dan turut menahan suspek keempat yang juga wanita berusia 30-an, Ahad lalu bagi membantu siasatan.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


