SUSPEK yang disyaki terbabit dengan insiden letupan membabitkan bahan letupan buatan sendiri atau improvised explosive device (IED) di Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu, direman bagi membantu siasatan bermula hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek berusia 62 tahun itu direman tujuh hari sehingga 3 Januari depan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, permohonan perintah reman itu dibacakan di hadapan Majistret Siti Nur Ain di Zon Merah, Hospital Tunku Jaafar (HTJ) memandangkan suspek kini masih dirawat.
“Susulan kes letupan di kawasan parkir kenderaan dekat Desa Palma baru-baru ini, polis menahan suspek di Batang Benar, Nilai, jam 4.15 petang semalam.
“Dia direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 Januari depan bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan suspek ditahan dalam keadaan lemah dan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan serta muka.
Dalam kejadian awal pagi 22 Disember lalu, IED dikatakan meletup di dalam kereta ketika suspek mengalihkan peranti sebelum melarikan diri.
Polis meminta bantuan orang awam mengesan suspek yang menjadikan sebuah rumah di Desa Palma sebagai makmal selain dia dikenal pasti mempunyai pengetahuan mengenai pembuatan IED.


