POLIS mendapat perintah tahanan reman terhadap seorang lelaki warga emas selama enam hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya di Kampung Paku, Gual Ipoh di Tanah Merah, Kelantan semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini di Mahkamah Majistret Tanah Merah bermula hari ini hingga 7 Disember depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang berusia 63 tahun tiba di mahkamah pada jam 9.25 pagi dengan berpakaian lokap menaiki kenderaan polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, mangsa Mastura Abdullah, berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian hadapan dan belakang badan.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan suspek terbabit negatif dadah, tidak mempunyai masalah mental dan merupakan seorang penganggur.
Menurut beliau, polis tidak menolak kemungkinan cemburu menjadi motif utama warga emas itu bertindak demikian.
“Suspek berada dalam keadaan terlalu marah sehingga bertindak menikam isterinya. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Sinar Harian.
Difahamkan mangsa telah berkahwin dengan suspek selama 14 tahun dan pasangan tersebut mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun.
Suspek dipercayai menikam mangsa menggunakan senjata tajam sebelum menyerah diri di Balai Polis Gual kira-kira jam 1 petang.


