POLIS berjaya menahan seorang suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan tragis seorang wanita yang mayatnya disumbat dalam sebuah beg sebelum ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, Negeri Sembilan semalam.
Suspek seorang lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam di Melaka, tidak sampai 12 jam selepas penemuan mayat berkenaan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek berkemungkinan mengenali mangsa dan setakat ini polis belum mempunyai maklumat sama ada dia terlibat secara langsung atau tidak dalam kes itu.
“Suspek juga memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk dadah dan polis percaya terdapat beberapa individu lain yang turut terlibat dalam kes berkenaan.
“Dia kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan untuk membantu polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini, lapor Bernama.

Menurut Muhammad Idzam, proses bedah siasat ke atas mayat yang ditemukan itu masih dijalankan di Hospital Rembau.
Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, mayat ditemukan dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas itu dipercayai wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor, sejak 8 Disember lepas.
Menurut beliau, laporan berhubung kehilangan wanita itu, Suri Narudin, 53, diterima Balai Polis Ampang, Ampang Jaya, pada Isnin lalu sebelum polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi yang dikesan terdapat perlakuan jenayah.


