POLIS mengesahkan tiada kesan brek ditemukan di lokasi kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris – Sungai Gawi – Aring (Bukit Kawah) pada Jumaat lalu.
Kenderaan itu dipercayai dipandu terus menghala ke kawasan jalan terputus sebelum terjatuh sedalam 61 meter.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal polis mendapati SUV tersebut bergerak ke arah laluan yang sebelum ini ditutup akibat insiden tanah runtuh tahun lalu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati kelajuan kenderaan tidak tinggi berdasarkan serpihan yang ditemui pada lereng gaung.
“Jika pemandu memandu laju, biasanya kenderaan akan ‘melayang’ sedikit sebelum terjatuh.
“Berdasarkan serpihan kenderaan di kawasan lereng gaung, kita yakin kenderaan ini tidak dipandu laju dan terus terjunam ke bawah (gaung),” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian Jumaat lalu, sebuah SUV jenis Toyota Fortuner dinaiki seorang guru, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung kira-kira jam 5.30 petang.
Nahas megakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Jenazah Hassan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh manakala jenazah Suzaimah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang.
Menurut Sharudin, polis percaya punca kemalangan lebih kepada faktor kecuaian kerana tidak memberi tumpuan penuh ketika memandu.
Selain itu, beliau memberitahu, pemeriksaan ke atas SUV tersebut menemukan tapak kamera papan pemuka (dashcam), namun alat tersebut tidak ditemui dan dipercayai tercampak ketika kejadian.
Ditanya mengenai operasi mengeluarkan kenderaan itu, Sharudin berkata, ia mengambil masa hampir empat jam berikutan keadaan cuaca hujan yang menyukarkan proses membawa naik SUV tersebut.
“Operasi membawa naik kenderaan dijalankan bermula jam 2 petang semalam (Sabtu) sebelum dibawa ke IPD Hulu Terengganu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan terdapat papan tanda amaran dan penghadang jalan di lokasi tersebut, namun difahamkan ia telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Pihak polis akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang mengalih atau mengganggu tanda keselamatan jalan,” ujarnya.


