TINDAKAN seorang lelaki menikam mati isterinya di Kampung Paku, Gual Ipoh, Tanah Merah hari ini berlaku selepas suspek mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Moh Yusoff Mamat berkata, Mastura Abdullah, 40 ditikam dua kali di bahagian belakang badannya oleh suaminya menggunakan sebilah pisau di dapur rumah mereka.
Katanya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan seorang tukang masak, telah bertengkar dengan suaminya berusia 63 tahun.
“Kejadian itu berlaku selepas suspek mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih. Lelaki itu dipercayai menikam bahagian belakang badan isterinya dengan dua tikaman. Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan baru sahaja tiba di rumahnya dari Lembah Klang pagi tadi,” katanya kepada pemberita, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tanah Merah esok untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek dikatakan telah menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh kira-kira jam 1 petang.
Suspek dan mangsa sudah 14 tahun berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun. Mastura merupakan isteri ketiga suspek dan bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor.


