PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah serta membaik pulih kerosakan infrastruktur di negeri itu dilakukan segera.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerja-kerja memperbaiki kerosakan infrastruktur bangunan dan jalan raya akibat bencana alam itu dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa.
Ia termasuk membina bangunan baharu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh baru-baru ini.
“Saya tak mahu ikut proses biasa kerana banjir dan kerosakan ini bukan proses biasa. Kalau kita buat proses biasa, nak siapkan jalan, kemudahan (ambil masa) terlalu lama.
“Oleh itu, kita dah minta supaya proses itu dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tanah runtuh di IPG Kampus Gaya di Kota Kinabalu, hari ini, diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, lapor Bernama.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah mangsa banjir setakat 12 tengah hari ini menurun kepada 2,467 orang membabitkan 766 keluarga berbanding 2,602 orang membabitkan 806 keluarga pagi tadi.
Hujan berterusan sejak minggu lepas menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di negeri itu sehingga meragut 14 nyawa termasuk seorang korban banjir setakat ini.
Anwar pada Isnin lepas (15 Sept) meluluskan peruntukan segera RM10 juta menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.


