‘’ Tak pernah kenal seumur hidup…macam mana boleh dapat RM9.5 juta’’ – Ramanan

NAIB Presiden PKR, Datuk Seri R.Ramanan hari ini dengan tegas menafikan beliau adalah ‘Mr R’ – individu yang didakwa menerima RM9.5 juta daripada Ahli Perniagaan Victor Chin.

Katanya, tuduhan pihak tertentu yang mengaitkan beliau sebagai ‘Mr R’ adalah tidak masuk akal dan menegaskan hanya Victor Chin sahaja yang tahu siapa individu tersebut.

‘’ Hanya Victor Chin yang boleh jawab soalan itu, siapa ‘Mr R’. Tetapi saya sedar ada beberapa personaliti yang cuba mengaitkan saya dengan (dakwaan) ini. Dia mendakwa ‘MR R’  itu saya, berjuta-juta saham dipindahkan kepada saya..buktikan (tuduhan itu)! (hakikatnya) Saya tidak ada pun pegangan saham,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarat Ahli Parlimen Sungai Buloh hari ini.

Ramanan mempersoalkan  bagaimana beliau boleh mengambil RM9.5 juta daripada seseorang yang tidak pernah dikenali dan tidak pernah berjumpa dalam hidupnya.

“(selain itu) Saya tidak fikir mana-mana Ahli Parlimen yang waras akan berurusan melibatkan ratusan juta dolar saham.

“Kita ada Suruhanjaya Sekuriti, kita ada Bank Negara. Adakah anda mahu katakan transaksi seperti itu boleh berlaku begitu sahaja, mengaitkan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen dalam urus niaga seperti itu tanpa sebarang amaran? Itu sesuatu yang saya anggap tidak masuk akal,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, Victor Chin mempunyai kredibiliti meragukan dan terdapat pelbagai kesalahan serius boleh dikaitkan dengan individu tersebut termasuklah urus niaga palsu dan manipulasi pasaran saham.

“Saya boleh bagi anda (contoh), dagangan palsu, transaksi manipulasi pasaran, manipulasi pasaran saham, kenyataan palsu dan mengelirukan serta penipuan yang mendorong orang berurusan dalam sekuriti.

“Dia boleh melepasi semua seksyen ini, kemudian tanpa asas mendakwa dia sudah beri saya RM9.5 juta atau mana-mana Ahli Parlimen PKR RM9.5 juta,” katanya.

Ditanya kenapa sidang media itu diadakan kalau beliau bukan ‘Mr R’, Ramanan berkata, langkah itu dibuat bagi memperjelaskan keadaan susulan implikasi terhadap parti.

“Bila parti diserang macam ini dan tuduhan seperti ini dibuat, saya ada tanggungjawab sebagai Naib Presiden parti untuk pastikan perkara ini jelas. Kalau tidak, kita duduk diam-diam macam ini, semua orang akan mula anggap ia benar,” katanya.

Beliau berkata, seseorang perlu tampil menjelaskan isu berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.

“Jadi seseorang perlu bersuara mengenai perkara ini dan bangkitkan isu yang perlu dibangkitkan. Kita tidak boleh biarkan terlalu banyak keraguan dan kekaburan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img