Taktik baharu sorok dadah RM37.3 juta dalam simen terbongkar

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar taktik terbaharu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikesan menyembunyikan bahan terlarang itu dalam campuran simen.

Taktik itu terbongkar hasil kejayaan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ke atas stor penyimpanan dadah yang beroperasi di sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail di Ipoh, Perak melibatkan rampasan dadah bernilai RM37.3 juta pada 16 Januari lalu.

HUSSEIN Omar Khan (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan memproses dadah turut dirampas dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ke atas stor penyimpanan dadah yang beroperasi di sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail di Ipoh, pada 16 Januari lalu

Pengarah JSJN, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu, polis menemukan 843.33 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine, 679.22 kilogram cecair dan serbuk bahan kimia dipercayai prekursor dadah serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan parkir kenderaan premis kemudiannya menjumpai dadah jenis MDMA yang telah diproses dan disorok dalam bentuk ketulan campuran simen seberat kira-kira 618.24 kilogram.

“Sejak operasi JSJN diperhebat, kumpulan sindiket ini menggunakan pelbagai teknik menyembunyikan dadah untuk elak dikesan. Sebelum ini mereka menyembunyikan dadah dalam jus minuman, minyak zaitun, kanvas dan bahan binaan.

“Dan kali ini, kita menemui dadah disembunyikan dalam bentuk simen pula,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini, lapor Sinar Harian.

Hussein memberitahu, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia awal 30-an yang dipercayai berperanan membantu operasi sindiket berkenaan.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Disember 2024 dan didalangi oleh warga asing yang bertindak sebagai koordinator dengan menggunakan kediaman mewah sebagai lokasi strategik untuk penyimpanan dan pemprosesan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Jika kita lambat bertindak, premis ini berpotensi menjadi makmal dadah haram berskala besar. Semua bahan dan peralatan sudah lengkap, cuma menunggu ahli kimia dadah untuk memulakan proses,” katanya.

Pihaknya percaya, sindiket sama mengendalikan beberapa makmal dadah haram di Lembah Klang, Ipoh dan Pulau Pinang dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat pemprosesan dan transit.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dua suspek yang ditahan telah direman selama 13 hari sehingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, JSJN sedang mengesan seorang lagi lelaki warga China yang dipercayai dalang utama sindiket yang telah keluar masuk Malaysia sebanyak lima kali dengan kemasukan terakhir pada Ogos 2025.

“Hasil semakan dengan Biro Narkotik Hong Kong mendapati individu ini mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah. Pihak berkuasa Hong Kong kini bekerjasama dengan kita untuk mengesan dan menangkap suspek,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img