‘Team B DAP’ : Zahid tarik balik kenyataan,  Anthony kata ‘’ Adakah saya begitu bodoh dari segi politik?

SEMALAM ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2025, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa  pelbagai kenyataan dikeluarkan yang bertentangan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada ‘Team B’.

Presiden UMNO  itu berkata perkara itu dimaklumkan sendiri kepada beliau oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

“Betul (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, (Timbalan Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamad Hasan kata nak takut dengan DAP ini pasal apa… yang keluarkan kenyataan macam-macam itu ‘Team B’ dalam DAP.

“Mereka pun ada Team B juga. Saya jumpa sendiri dengan Setiausaha Agungnya (Anthony Loke),” katanya lapor Berita Harian.

HARI INI DI KLANG,  Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mempertikaikan dakwaan Ahmad Zahid Hamidi, bahawa beliau mendedahkan kewujudan “team B” dalam parti komponen PH itu.

Menafikan pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Ahmad Zahid mengenai perkara itu, Loke menegaskan, ahli dan wakil DAP kekal bersepakat sebagai satu pasukan yang dipandu oleh idea bersama serta motivasi yang selari.

“Logik ke? Adakah saya begitu bodoh dari segi politik? Walaupun wujud team B, mengapa saya perlu beritahu orang lain mengenainya, apatah lagi kepada seorang pemimpin parti lain?

“Tidak ada team A, team B atau team C dalam DAP. Yang ada hanya satu — team DAP,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen DAP Selangor di Klang hari ini.

Loke berkata, walaupun sebelum ini dia tidak bersetuju dengan pandangan dibuat seorang lagi pemimpin DAP – Yeo Bee Yin mengenai kes mahkamah Najib Razak – ia bukanlah punca kepada perpecahan parti tersebut.

“Dalam DAP, kita boleh mempunyai pendapat berbeza dan kita akan menguruskan perkara itu secara dalaman, justeru tak ada isu di situ,” tambahnya lapor Malaysiakini.

BERIKUTAN ITU, Ahmad Zahid menarik balik kenyataan berhubung kewujudan ‘Tem A’ dan ‘Team B’ dalam DAP, sekiranya ia menyinggung parti berkenaan.

Malah Pengerusi Barisan Nasional (BN)  berkata, apa yang dimaksudkan adalah bagi menjelaskan terdapat kenyataan-kenyataan bercanggah daripada segelintir pemimpin DAP terhadap isu yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini.

“Jika (kenyataan) itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu. Tetapi tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan terdapat atau wujud dua kem dalam parti berkenaan.

“Cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil (antara pemimpin DAP) dan ini disebutkan juga oleh Datuk Seri Johari Ghani dan juga Timbalan Presiden (UMNO), Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kita tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menjelaskan, kenyataan yang dibuatnya ketika ucapan penangguhan semalam bagi memperjelas pertelingkahan berterusan membabitkan pemimpin DAP tertentu dengan Muhamad Akmal.

“Maka diperjelaskan bahawa isu-isu dibangkitkan itu bukan asas kepada keputusan rasmi parti, tetapi dibangkitkan oleh mereka iaitu satu kumpulan kecil terhadap apa yang dinyatakan Ketua Pemuda UMNO.

“Jadi, itu cuma satu gambaran, bukan satu keabsahan kewujudan ‘team’ (kem) di dalam DAP,” ujarya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img