Tenangkan emosi mangsa, cabaran utama ketika banjir

ASPEK paling mencabar setiap kali berlaku bencana banjir bukan sekadar persiapan fizikal, tetapi keupayaan menenangkan emosi penduduk yang panik apabila paras air mula naik dan laluan keluar semakin berisiko.

Namun perkara itulah yang menjadi tumpuan utama pasukan pengurusan kampung setiap kali berlakunya banjir besar memandangkan ramai penduduk cenderung berasa cemas.

Ketua Kampung Batu 16, Dusun Tua di Hulu Langat, Md Gadapi Ahmad Harmai berkata, permasalahan itu sering berlaku terutama apabila mangsa banjir terperangkap atau terputus hubungan.

“Kami sebagai pengurusan kampung perlu meyakinkan mereka bahawa pasukan keselamatan sedang bergerak dan mereka tidak ditinggalkan. Sokongan moral itu sangat perlu dalam situasi genting seperti banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui utusanmelayuplus hari ini.

MD Gadapi Ahmad Harmai

Baru-baru ini, beberapa kawasan di daerah ini terutama sekitar Taman Sri Nanding, Dusun Tua dan Kampung Sungai Serai, dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak Ahad lalu, menyebabkan laluan utama dan kediaman penduduk terjejas.

Tambahnya, meskipun kelengkapan dan persediaan fizikal berada pada tahap optimum namun aspek kestabilan emosi mangsa menjadi ujian paling kritikal.

“Apabila banjir besar berlaku, bukan semua kawasan dapat kami masuki. Ketika itu, perkara paling penting adalah menenangkan mereka. Penduduk dalam keadaan cemas, dan mereka mengharapkan kami serta agensi berkaitan datang segera,” katanya.

MD Gadapi Ahmad Harmai di tebing Sungai Langat yang paras airnya kini di peringkat berjaga-jaga susulan banjir baru-baru ini di Kampung Batu 16, Dusun Tua di Hulu Langat hari ini.
GAMBAR: NURUL SHAFINA JEMENON

Mengulas mengenai keadaan semasa, Md Gadapi berkata, paras air di Sungai Langat berhampiran kampung mereka ketika ini berada pada tahap berjaga-jaga dan berpotensi meningkat hingga 5.7 meter.

“Kita menjangkakan kemungkinan berlakunya banjir dan segala persiapan telah pun dibuat. Langkah-langkah ini diambil berasaskan pengalaman lalu yang menjadi panduan kepada kami,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img