ANALISIS
BARISAN Nasional (BN) boleh dianggap melakukan taktikal yang bijak apabila memutuskan secara muktamad tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Keputusan yang diumumkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi malam tadi menimbulkan persoalan adakah BN dan UMNO sudah menerima isyarat bahawa sesiapa sahaja yang bergabung dengan GRS dalam pilihan raya itu akan ‘dibungkus’ sekali?
Ia memandangkan ketika ini sentimen penolakan terhadap GRS khususnya melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dikatakan sangat tinggi.
UtusanMelayu+ dimaklumkan oleh sumber, GRS tidak akan mampu bertahan dalam PRN17 untuk mengekalkan pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah.
‘’Apa yang dilakukan oleh BN dan UMNO itu adalah tepat kerana gelombang menolak Hajiji dan GRS agak kuat. Dalam keadaan itu sesiapapun yang bekerjasama dengan GRS akan ditolak ‘secara pakej’ ,’’ kata sumber berkenaan ketika dihubungi bagi mengulas keputusan BN itu.
Ketika mengumumkan keputusan BN tersebut, Ahmad Zahid memberitahu BN kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya tersebut.
“Kami mengekalkan kerjasama BN-PH. Namun, BN Sabah dan UMNO Sabah memutuskan secara muktamad tidak akan ada kerjasama dengan GRS. Sekian terima kasih,” katanya Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kota Kinabalu tengah malam tadi selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan barisan pemimpin UMNO Sabah yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sebenarnya keputusan BN itu tidak memberi apa-apa kesan kepada GRS yang pada 10 Ogos lalu sudah memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PH dan tidak akan bekerjasama dengan parti lain.
Semua orang faham kenapa GRS lebih memilih PH, walaupun PH hanya ada 7 kerusi berbanding BN yang menguasai 12 kerusi tetapi PH kini menguasai Kerajaan Pusat. GRS melihat Keadaan itu sudah pastilah akan memberi kelebihan kepada GRS.
Ini jelas apabila Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerjasama itu telah banyak membantu menstabilkan politik di Sabah selain memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk memberi tumpuan khusus kepada usaha-usaha membangunkan negeri ini.
“Kita akan duduk semeja dengan kepimpinan PH dalam masa terdekat bagi menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh parti masing-masing. GRS kekal berpendirian bahawa parti-parti tempatan hendaklah mengambil peranan utama dalam kerjasama yang akan dipersetujui,” katanya yang turut menjelaskan tidak membincangkan atau menyentuh sebarang kerjasama dengan parti-parti lain .
Agak menarik untuk melihat ialah hasil percaturan melibatkan GRS, PH dan BN ini. GRS bekerjasama dengan PH sahaja bukan BN manakala BN pula hanya bekerjasama dengan PH bukan GRS. Soalnya adakah tempias penolakan terhadap GRS tidak akan kena kepada PH?
Dan jika berlaku penolakan ke atas PH kerana bekerjasama dengan GRS, tidakkah ia juga akan terpalit kepada BN yang bekerjasama dengan PH memandangkan rakyat akan menolak sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan GRS dan sekutunya…peningkan… nak jadi macam teori Keluarga 69 dah.
Tetapi apa yang pasti berdasarkan sumber, sokongan terhadap Parti Warisan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semakin meningkat walaupun parti itu dianggap ‘underdog’.

Sikap konsisten Mohd Shafie yang memastikan Warisan akan bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN17 Sabah itu tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain menarik perhatian rakyat Sabah.
“Parti telah memutuskan secara sebulat suara untuk bertanding 73 kerusi DUN. Maknanya tiada gabungan atau kerjasama dengan parti lain. Jangan percaya jika ada gambaran sebaliknya.Ini keputusan parti, bukan keputusan presiden seorang,’’ katanya.
Mohd Shafie menegaskan Warisan hanya akan bekerjasama dengan rakyat Sabah, dengan memberi tumpuan memenuhi keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan prasarana jalan raya di seluruh negeri.

Malah kalau melihat kepada senario semasa tidak mustahil Warisan akan menjadi parti tunggal menang banyak kerusi walaupun belum tentu dapat menubuhkan kerajaan. Ketika ini Warisan memiliki 14 kerusi DUN. Bagaimanapun ia tidak akan menjadi masalah kerana Perikatan Nasional (PN) mungkin boleh membantu.
Ada analisis menyatakan PN dijangka menang dengan jumlah kerusi yang signifikan untuk membolehkan gabungan itu menjadi penentu penubuhan Kerajaan Negeri.
Mengikut peruntukan, DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya ia tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.
Sememangnya PRN17 Sabah amat menarik untuk diperhatikan kerana ia bukan sahaja akan menunjukkan sokongan rakyat Sabah kepada Kerajaan Negeri diketuai GRS yang dipimpin Hajiji tetapi juga sejauh manakah mereka menyokong Kerajaan Pusat yang diketuai oleh PH dan disertai oleh BN.
Khabarnya, walaupun DUN belum dibubarkan, PRN17 pun tak tahu bila tetapi bayangan ‘keputusannya’ seolah-olah sudah ada jika teori ‘Keluarga 69’ kekal hingga hari pengundian PRN17…sama-samalah kita tunggu.
.
.


