PEGUAM Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon Mahkamah Tinggi untuk hanya mengenakan hukuman yang minimum terhadap bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu.
Beliau berkata, Najib yang berusia 72 tahun telah mengabdikan hampir lima dekad dalam perkhidmatan awam dan kini menjalani setiap hari dalam penahanan dengan bermaruah dan memberikan penuh kerjasama.
“Tertuduh menanggung penderitaan yang amat besar. Hukuman undang-undang yang dikenakan sudah pun berat. Yang tinggal, kami dengan rendah hati memohon keadilan daripada Mahkamah Yang Mulia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan rayuan mitigasi supaya Najib diringankan hukuman.
Hujah Muhammad Shafee lagi, Najib tidak pernah melarikan diri dan tidak pernah mengelak daripada proses undang-undang.
Katanya, Najib sentiasa menunjukkan rasa hormat terhadap mahkamah pada setiap peringkat.
“Yang Arif, tertuduh hanya memohon keadilan. Oleh itu, kami dengan rendah hati memohon sebarang hukuman penjara yang dijatuhkan adalah minimum yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Semua tempoh penjara juga hendaklah dijalankan secara serentak dan sebarang denda dikenakan mengikut kemampuan dan keadaan peribadi tertuduh.
“Kami menghujahkan bahawa keadilan bukan sahaja mengenai pembalasan, tetapi juga mengenai perkadarannya, sifat belas kasihan, dan pemeliharaan kemanusiaan dalam undang-undang,” katanya lapor Berita Harian.
Muhammad Shafee memberitahu usia Najib dan masalah kesihatan serius anak guamnya adalah faktor mitigasi penting yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah.
Beliau juga memaklumkan, sepanjang prosiding, Najib mengalami beberapa masalah kesihatan seperti hipertensi teruk, keradangan lutut dan pembedahan mata yang menjadikan tempoh penjara lebih mencabar berbanding individu sihat.
Selain itu, katanya Najib sentiasa memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia sejak 2015, termasuk menghadiri siasatan tanpa sebarang gangguan atau halangan.
Beliau berkata, kerjasama konsisten itu, walaupun Najib pernah memegang jawatan tertinggi eksekutif negara, menunjukkan penghormatan terhadap undang-undang dan integriti proses siasatan.
Muhammad Sahfee turut merujuk prinsip mahkamah terdahulu bahawa kerjasama tertuduh selepas kesalahan dilakukan adalah faktor mitigasi yang sah dan perlu diambil kira dalam penentuan hukuman.
Muhammad Shafee turut menegaskan, salah satu faktor mitigasi utama ialah tiada sebarang keuntungan peribadi diperoleh oleh Najib daripada keputusan berkaitan 1MDB.
“Tiada bukti menunjukkan beliau menerima, meminta atau menjangkakan sebarang manfaat peribadi, dan sebarang dana yang disalahgunakan berlaku tanpa pengetahuan atau penyertaannya.
“Sebahagian besar dana digunakan untuk aktiviti politik, sosial dan kebajikan di bawah kerangka Barisan Nasional, manakala perbelanjaan peribadi adalah berkaitan dengan tanggungjawab rasmi sebagai Perdana Menteri.
“Tindakan Datuk Seri Najib memulangkan hampir keseluruhan dana sumbangan luar negara bernilai AS$620 juta turut menunjukkan tiada motif keuntungan peribadi dan menyokong niat baiknya,” katanya.
Muhammad Shafee berkata, Najib bukan profesional korporat dan peranannya terhad kepada pembentukan dasar, bukan pengurusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau berkata, Najib bergantung sepenuhnya kepada Lembaga Pengarah dan pegawai profesional syarikat, selaras amalan tadbir urus kerajaan.
Peguam itu menekankan salah laku utama dilakukan oleh individu yang mempunyai kawalan langsung ke atas transaksi dan dana, sementara Najib tidak merancang atau memperoleh sebarang manfaat daripada perkara itu.
Menurut Muhammad Shafee, hukuman perlu mencerminkan perbezaan jelas tahap kebersalahan dan tidak membebankan Najib secara tidak seimbang.
Tegasnya, beberapa pegawai kanan 1MDB lain masih belum berdepan tindakan setara.
“Datuk Seri Najib sentiasa bertindak demi kepentingan negara, termasuk pelaburan strategik, pembangunan ekonomi dan kerjasama antara kerajaan, bukan keuntungan peribadi,” katanya.


