JABATAN Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesahkan tiada sebarang pencemaran bahan kimia yang boleh membahayakan penduduk dalam dua kemalangan membabitkan lori yang berlaku di Alor Setar dan Kulim pada Jumaat lalu.
Menurut jabatan itu, tumpahan bahan industri akibat dua insiden kemalangan lori tersebut berjaya dikawal.
Kejadian pertama jam 9.30 pagi di Jalan Persiaran Bandar Baru Mergong, Alor Setar membabitkan sebuah lori pengangkut muatan cat yang terbalik selepas memasuki simpang tiga lampu isyarat di lokasi kejadian.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pada hari kejadian, arahan awal diberikan kepada syarikat pengangkutan terbabit untuk menyediakan habuk kayu atau pasir bagi kerja-kerja pembersihan tumpahan cat.
“Pihak syarikat turut diarahkan membuat langkah kawalan awal bagi mengelakkan tumpahan cat daripada memasuki sistem perparitan awam dengan membuat sekatan di dalam longkang di tepi jalan. Kerja-kerja pembersihan tumpahan cat sudah pun dilakukan syarikat pengangkutan dan kontraktor pembersihan dilantik pemilik syarikat itu,” katanya, lapor Berita Harian.
Kemalangan kedua berlaku sekitar jam 1.30 petang di Jalan Kulim Mahang, iaitu di simpang tiga Felda Gunung Bongsu yang membabitkan tumpahan Palm Oil Mill Effluent (POME).
Sharifah Zakiah berkata, hasil siasatan pegawai JAS pada hari sama menemukan tumpahan POME di atas tanah, namun tiada alur air berhampiran lokasi kejadian.
“Kemalangan turut menyebabkan sebahagian air buangan POME dengan anggaran kapasiti sebanyak 30 tan itu tumpah ke longkang bersebelahan jalan raya. Berikutan itu, pihak pengangkut diarah melakukan pembersihan segera.
“Kontraktor yang tiba kemudian mengawal tumpahan dan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan semburan serta menabur serbuk hampas tandan sawit kosong bagi membendung air buangan POME yang tertumpah daripada terus mengalir ke alur air berhampiran,” katanya menambah kerja pembersihan di dua lokasi berkenaan selesai semalam.
Beliau berkata, pihak industri dan syarikat pengangkut sewajarnya mempunyai satu prosedur operasi standard (SOP) apabila berlaku insiden tumpahan bahan kimia atau buangan yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam.
“Selain itu, pihak industri dan pengangkut mesti mempunyai senarai kontraktor pembersihan yang boleh dihubungi supaya tindakan pembersihan tumpahan bahan industri boleh dilakukan segera. Mereka juga wajar mempunyai senarai premis berdaftar dengan JAS bagi membantu pengurusan dan pelupusan sisa buangan yang dikumpul,” katanya.
Orang awam dinasihat melaporkan kejadian pencemaran kepada JAS melalui Talian Aduan 1-800-88-2727 atau e-Aduan JAS di alamat https://eaduan.doe.gov.my dan https://eaduan.doe.gov.my.


