Tiga daerah di Sabah dilanda banjir

HUJAN berterusan sejak semalam mengakibatkan tiga daerah di Sabah iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan dilanda banjir, pagi ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, pemakluman mengenai situasi banjir di ketiga-tiga daerah itu dibuat Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) masing-masing dalam satu notis pengisytiharan bencana dikeluarkan pada jam 6 pagi tadi.

Pemakluman itu dibuat berdasarkan maklumat di lapangan dan laporan diterima daripada agensi tindak balas JPBD di ketiga-tiga daerah susulan situasi banjir yang menyebabkan kawasan dikenal pasti mula terjejas akibat bencana itu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah memaklumkan banjir kilat berlaku di Taman Merpati Batu 7, Sandakan, awal pagi tadi.

Balai Bomba Penyelamat Sandakan menerima panggilan kecemasan pada 4.52 pagi sebelum anggota bertugas bergegas ke lokasi yang terletak 10 kilometer dari balai bomba bagi membantu mengeluarkan mangsa banjir.

“Pasukan bomba bergerak ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan mendapati paras air di kawasan itu dalam keadaan terkawal.

“Tiada operasi pemindahan mangsa dijalankan,” menurut kenyataan itu, lapor Harian Metro.

Pasukan bomba turut menasihati penduduk sekitar supaya berpindah lebih awal ke kawasan selamat sekiranya paras air meningkat.

Operasi ditamatkan pada jam 5.43 pagi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img