Tiga pegawai Imigresen didakwa atas pertuduhan rasuah libat keseluruhan RM1 juta

SEPASANG suami isteri antara tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didakwa di dua Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Ia membabitkan nilai keseluruhan melebihi RM1 juta bagi tempoh antara 2022 hingga 2025.

Tertuduh, Mohamad Fadzli Abdul Rahim, 46, isterinya Suhana Ismail, 45, serta Mastura Aziz, 49, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan dua hakim berbeza.

Di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, Mohamad Fadzli didakwa 42 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM500,100 melalui beberapa akaun bank sebagai upah melepaskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur JIM.

Dia turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM278,600 melalui akaun seorang wanita berusia 44 tahun.

Mastura, yang ketika kejadian bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di KLIA Terminal 1, didakwa menerima suapan RM140,000 bagi melepaskan 56 warga Bangladesh tanpa prosedur sah.

Wanita itu didakwa menerima suapan wang berjumlah RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang warga asing.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah, stesen minyak dan Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar di Sepang antara 3 hingga 15 Mei tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, Mohamad Fadzli turut didakwa empat lagi pertuduhan rasuah membabitkan RM10,400, manakala Suhana berdepan 11 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM125,850 untuk pembelian di sebuah kedai emas.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk cawangan bank sekitar Subang Jaya, Teluk Panglima Garang, Kota Warisan, Sepang serta beberapa premis komersial antara 2022 hingga 2025.

Bagi kes rasuah, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi kes pengubahan wang haram, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta di bawah Akta 613.

Mahkamah membenarkan Mohamad Fadzli diikat jamin RM44,000 dan Suhana RM40,000, masing-masing dengan dua penjamin, manakala Mastura dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh turut diperintah melapor diri di Pejabat SPRM sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan, selain Mohamad Fadzli dan Suhana diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pasangan suami isteri pada 10 Mac, manakala kes Mastura pada 25 Februari depan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img