LELAKI yang disyaki menikam wanita dan peniaga telefon bimbit di Taman Nona, Guar Chempedak, malam kelmarin, direman enam hari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa bermula hari ini sehingga 18 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohd Hamizi Abdullah berkata, suspek ditahan di Kuala Terengganu, pada jam 9.45 pagi semalam.
Bagaimanapun katanya, setakat ini status hubungan suspek dengan mangsa wanita itu masih dalam siasatan.
Terdahulu, suspek berusia 29 tahun itu dibawa menaiki kenderaan polis dan tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada jam 8 pagi.
Sementara itu, peguam yang mewakili suspek, Abdul Hayyi Salim yang hadir pada proses reman itu memaklumkan, dia difahamkan, suspek ditahan berhadapan sebuah kedai di tepi jalan di Kuala Terengganu, semalam.
“Mahkamah Majistret hari ini membenarkan suspek direman selama enam hari dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, suspek adalah pekerja swasta dan kini sedang mencari kerja di Kuala Lumpur.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita dan lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tikam di badan di hadapan rumah penduduk di Taman Nona, Guar Chempedak, Yan, Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan di hadapan sebuah rumah di situ, manakala mangsa wanita di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.


