TINDAKAN Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri telah melangkaui keputusan yang sepatutnya dibuat oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Sehubungan itu Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengingatkan, sebagai gabungan yang ada hak perkongsian sama, tidak ada yang kecil atau besar dan tidak ada ‘abang besar’.
“Kita ada empat rakan kongsi yang ada hak sama rata dalam PN, apa-apa keputusan dibuat oleh Pengerusi PN atau siapa-siapa, mesti melalui Majlis Tertinggi PN. Itu sebabnya kita tidak begitu bersetuju dengan apa-apa pengumuman sama ada calon Perdana Menteri atau sebagainya. Bagi Pas, kenyataan Bersatu mendahului keputusan PN,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-17 berakhir di Alor Setar hari ini.
Mengenai hasrat Pas untuk menerajui PN, Takiyuddin berkata, parti itu sudah beberapa kali ditawarkan memegang jawatan Pengerusi PN sebelum ini.
Bagaimanapun, kata beliau Pas menolak kerana melihat Muhyiddin lebih layak berdasarkan pengalaman dan keupayaannya ketika itu.
“Kita sudah beberapa kali ditawar menjadi Pengerusi PN. Oleh sebab itu kita sedia menerima sebab kita pernah ditawar untuk mengetuai. Sekarang kita nyatakan kita bersedia untuk menjadi Pengerusi.
“Dahulu kita putuskan kerana keadaan masa itu Muhyiddin mungkin lebih sesuai, beliau bekas Perdana Menteri. Tapi sekarang kita bersedia, kalau kita diminta, kita bersedia. Biasanya Presiden parti jadi Pengerusi PN,” katanya.


