Tragedi bot karam: Tujuh mayat termasuk kanak-kanak dijumpai setakat malam ini

ENAM lagi mayat ditemukan setakat ini dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Malaysia-Thailand termasuk seorang kanak-kanak, sehingga jam 7 malam ini.

Angka terbaharu itu menjadikan kesemua tujuh mayat dijumpai setakat ini, terdiri daripada enam wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

Kesemua mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa memaklumkan, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa yang mungkin masih berada di laut.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, dilaporkan berkata, mangsa dipercayai dihantar sindiket menggunakan kapal besar kira-kira 300 orang sebelum dipindahkan ke tiga bot kecil sewaktu menghampiri sempadan negara.

“Sebuah bot yang membawa muatan kira-kira 90 orang dipercayai karam, manakala dua lagi masih belum dapat dikesan,” katanya.

Kesemua mangsa dipercayai terdiri daripada warga Myanmar termasuk etnik Rohingya dan Bangladesh.

Menurutnya, setiap individu disyaki membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.

Sementara itu, Romli memberitahu, sektor pencarian operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa bot karam itu telah diperluaskan meliputi 170 batu nautika persegi.

Menurut beliau, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Pejabat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis bagi melancarkan pergerakan.

Menurutnya, Op Carilamat susulan insiden bot karam membabitkan PATI di sempadan perairan Malaysia-Thailand pada Ahad itu ditangguhkan pada jam 7 malam dan akan bersambung semula esok.

“Orang ramai termasuk nelayan dan pengusaha bot pelancongan diminta melaporkan segera kepada pihak Maritim Malaysia dengan menghubungi 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 04-9662750 sekiranya menemui sebarang petunjuk atau mangsa bagi tindakan menyelamat,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img