Tragedi lembu melintas: Seorang penunggang maut, seorang lagi cedera

SEORANG penunggang maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal masing-masing merempuh seekor lembu yang sedang melintas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Serkam, Jasin malam tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 10.50 malam membabitkan dua penunggang motosikal lelaki, masing-masing berusia 25 tahun yang ketika itu dari arah Merlimau menghala ke Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang kedua-dua mangsa sedang melalui lebuh raya berkenaan sebelum seekor lembu tiba-tiba melintas dari kanan ke kiri laluan.

“Situasi ini menyebabkan kedua-dua penunggang tidak sempat mengelak lalu merempuh haiwan tersebut dan terbabas ke lorong kiri lebuh raya.

“Berikutan kemalangan itu, seorang penunggang cedera parah di badan dan tangan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Wan Nuralia Asyikin Wan Ibrahim di talian 011-6464 8182 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di 06-529 2222 sambungan 260.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img