Transporter dadah kecundang di plaza tol: Polis rampas 75kg syabu bernilai RM2.4 juta

POLIS Kedah berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki yang dipercayai transporter dadah apabila merampas sejumlah 75 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM2.4 juta di Plaza Tol Hutan Kampung, di Jitra awal pagi semalam.

Suspek yang berusia 48 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim kira-kira pukul 5 pagi hasil maklumat risikan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan menemukan empat guni putih mengandungi 75 bungkusan syabu di belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu suspek, selain sepucuk pistol automatik bersama 12 peluru hidup.

“Suspek bertindak agresif serta enggan keluar dari kenderaan menyebabkan anggota terpaksa memecahkan cermin,” katanya dalam sidang media di IPK Kedah hari ini.

Menurut Adzli, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai transporter dan ditawarkan bayaran RM15,000 untuk membawa bekalan dadah itu dari Perlis ke Butterworth, Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada seorang lelaki lain.

Tambahnya, polis sedang mengesan tiga lagi individu yang dipercayai memainkan peranan penting dalam mengendalikan dan menyelaras penyeludupan dadah berkenaan.

Polis turut menyita sebuah kereta BMW X5, sebuah motosikal Kawasaki ZR800 serta wang tunai RM500 yang disyaki hasil aktiviti dadah susulan pemeriksaan di rumah suspek, katanya.

Adzli berkata, suspek yang berasal dari Sungai Petani dan didapati positif methamphetamine kini direman tujuh hari sehingga 28 Disember depan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 8 dan 8(a) Akta Senjata Api 1960.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img