DALAM langkah yang dianggap tidak pernah berlaku sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hari ini menandatangani satu perintah eksekutif yang memberi jaminan keselamatan rasmi kepada Qatar.
Menurut perintah itu, sebarang serangan luar terhadap Qatar akan dianggap sebagai serangan terhadap Amerika Syarikat.
Washington berikrar akan menggunakan saluran diplomatik, ekonomi, dan jika perlu, tindakan ketenteraan untuk mempertahankan Qatar.
Langkah itu disifatkan sebagai “perjanjian keselamatan yang belum pernah berlaku antara AS dengan sebuah negara Arab”.
Jaminan Trump kepada Qatar berlaku ketika Asia Barat bergolak susulan pengeboman Israel ke atas pejabat Hamas di Doha, Qatar. Serangan tersebut menimbulkan keraguan dalam kalangan pemerintah Arab terhadap jaminan keselamatan AS yang selama ini hanya tersirat.
Trump dalam perintah eksekutif itu menegaskan, Amerika Syarikat kini akan menjadikan dasar rasmi untuk “menjamin keselamatan dan integriti wilayah Negara Qatar daripada serangan luar.”
Beliau turut menyatakan bahawa AS akan menganggap sebarang serangan bersenjata terhadap wilayah, kedaulatan, atau infrastruktur kritikal Qatar sebagai ancaman terhadap keamanan dan keselamatan Amerika Syarikat sendiri.
Bagi menghadapi kemungkinan tersebut, AS akan mengambil semua langkah yang sah dan sesuai termasuk tindakan diplomatik, ekonomi, serta ketenteraan jika perlu bagi mempertahankan kepentingan kedua-dua negara dan memulihkan kestabilan serantau.


