Tukang urut warga Thailand didenda RM6,000 terbabit aktiviti persundalan

TUKANG urut wanita warga Thailand yang berstatus isteri orang didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini selepas mengaku bersalah terbabit dalam aktiviti persundalan serta melanggar syarat pas lawatan sementara.

Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Rattana Saerung, 40, mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, lapor Harian Metro.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa mencari pelanggan di sebuah pusat refleksologi dan spa di Taman Bukit Perdana, pada 8.10 malam, 21 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa melanggar syarat pas dikeluarkan dengan melakukan aktiviti terbabit pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Seksyen 372B memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 39 (b), penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.

Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu pusat refleksologi dan spa itu selepas menerima maklumat berhubung kegiatan tidak bermoral.

Ketika pemeriksaan, tertuduh ditemui bersama pelanggan lelaki dalam keadaan separuh bogel dan siasatan mendapati premis turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan selain urutan.

Semakan di Jabatan Imigresen mengesahkan pas lawatan sosial tertuduh sah sehingga 13 April ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img