Tun M nafi punca perpecahan Melayu, terus salahkan UMNO

TUN Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu dan terus menyalahkan UMNO yang didakwanya telah menyimpang daripada perjuangan asal.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, keputusan beliau keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti Bersatu bukan untuk memecah-belahkan orang Melayu, sebaliknya bagi menyediakan wadah alternatif kepada mereka yang kecewa dengan parti itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Tetapi menurutnya, usaha menjadikan Bersatu sebagai pengganti UMNO sebagai parti Melayu yang memperjuangkan bangsa, negara dan agama gagal apabila ia hanya menang 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Namun, Bersatu menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir dari 2018 hingga 2020 sebelum tumbang susulan ‘Langkah Sheraton’.

“Ada orang yang dakwa bahawa yang memecah-belah orang Melayu ialah saya. Memang benar saya keluar dari UMNO kerana UMNO sudah menyeleweng – berjuang untuk wang dan bukan untuk bangsa, negara dan agama.

“Maka berlakulah perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana sokongan kepada UMNO diteruskan. Ramai terus berada dalam UMNO tidak ambil kira perubahan perjuangan, dari parti kebangsaan UMNO sudah jadi parti untuk mendapat kekayaan,” kata Dr Mahathir dalam hantaran di Facebook rasmi beliau bertajuk `Memecah belah’ hari ini.

Hantaran itu bagi mengulas dakwaan bahawa beliau menyumbang kepada perpecahan politik Melayu walaupun sering mengkritik isu berkenaan.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Hasbie Muda baru-baru ini menyelar kenyataan Dr Mahathir berhubung isu perpecahan Melayu, menyifatkan hujah bekas Perdana Menteri itu sebagai ‘kontradik’ atau bertentangan dengan tindakannya sendiri.

Hasbie dilaporkan berkata, bekas Presiden UMNO itu tidak sepatutnya menuding jari kepada orang lain sedangkan beliau sendiri mengasaskan beberapa parti serpihan seperti Bersatu sehingga memecahkan lagi undi Melayu.

Dr Mahathir dalam pada itu turut mengakui ramai juga ahli UMNO yang keluar parti itu tetapi tidak menyertai Bersatu yang ditubuhkan pada September 2016.

“Maka berpecahlah orang Melayu. Jika majoriti mereka sertai Bersatu maka perpecahan di kalangan orang Melayu tidak akan berlaku.

“Jika Bersatu tidak ditubuh perpecahan akan berlaku juga kerana ada beberapa parti lain ditubuh. Dengan menyertai parti-parti lain ini orang Melayu terus berpecah,” katanya.

Dr Mahathir turut mengulangi gesaan gagasan ‘payung besar’ untuk menghimpunkan orang Melayu dalam satu organisasi, yang menurutnya boleh memperkukuh kedudukan mereka dan meningkatkan peluang memenangi pilihan raya umum.

“Sebab itu Payung Besar ditubuh supaya semua orang Melayu berada dalam satu organisasi. Dan mereka mungkin menang PRU,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img