Tuntutan 40% hasil Sabah: Peguam Negara buat rayuan separa bukan kerana pilihan raya

PERDANA  Menteri Datuk Seri  Anwar Ibrahim hari ini menafikan bahawa PRN Sabah akan datang menjadi antara pertimbangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam keputusan untuk mengemukakan rayuan separa terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan 40% hasil Sabah.

Katanya,  kerajaan menerima keputusan mahkamah tersebut, namun mendapati terdapat isu pada sebahagian alasan penghakiman yang perlu diperbetulkan melalui proses rayuan.

“Tidak (bukan kerana pilihan raya negeri). Kita telah menerima keputusan itu tetapi… maksud saya, ada isu dalam alasan penghakiman,” katanya kepada pemberita di Kajang.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan menyeluruh dalam pelbagai mesyuarat.

“Terdapat banyak mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Saya sendiri turut mempengerusikan mesyuarat di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur,” katanya.

Sebelum itu di Dewan Rakyat, Anwar berkata, rundingan berhubung isu 40 peratus hasil Sabah tersebut akan dimulakan segera di peringkat teknikal dan boleh diteruskan walaupun dalam tempoh PRN Sabah berlangsung.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata proses rundingan itu tidak akan terjejas walaupun pentadbiran kerajaan negeri kini dijalankan oleh kerajaan sementara susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Okt lepas untuk memberi laluan kepada PRN.

Sehubungan itu, beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah menghantar surat kepada pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sabah bagi memulakan sesi rundingan tersebut.

“Memang betul bahawa kerajaan sekarang ini kerajaan sementara tetapi kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan dan prosesnya (memulakan rundingan) telah berjalan.

“Sekarang, sekurang-kurangnya Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis kepada SUK Sabah mengatakan boleh mula berunding soal-soal teknikal termasuk apa yang ditulis dalam penghakiman.

“Kemudian dalam Jawatankuasa Teknikal tentunya dibincangkan bahawa untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri dan tentunya tunggu sehingga selesai PRN dan kerajaan baharu dibentuk,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri .

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu dengan siapa Kerajaan Persekutuan berunding memandangkan Sabah kini dalam proses pilihan raya, dan sama ada hasil rundingan itu akan diputuskan melalui platform mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sentiasa dipelihara demi memastikan semua isu yang timbul, termasuk tuntutan hasil, dapat diselesaikan secara rasional serta berhemah.

“Tanggungjawab kita sebagai sebuah negara adalah menjaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Kalau ada kegelisahan yang munasabah, kita harus dengar dan cuba selesaikan.

“Ada pihak yang lebih rasional dan sedia mengatur rundingan, sebab itu… rundingan boleh diadakan bila hubungan itu baik… jika kerajaan negeri ambil sikap yang lebih positif, rundingan itu lebih baik dan lebih cepat,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar mengekalkan semangat kesatuan dan perpaduan, serta tidak meniup sentimen perkauman sempit dengan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Saya harap semangat kesatuan dan perpaduan ini dijaga kerana kalau kita tiupkan isu menghasut, isu perkauman sempit ini, ia hanya akan merugikan… yang untung hanya kepala-kepala di atas, rakyat bertempur tanpa air, tanpa elektrik dan jalan berlubang,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img