Usaha bawa keluar pensyarah, pelajar UUM di Hatyai buntu akibat arus deras sekitar hotel

USAHA membawa keluar 36 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand masih menemui jalan buntu apabila arus deras serta paras air kian meningkat di sekitar penginapan mereka.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata keadaan itu juga menyebabkan tiada laluan darat yang selamat untuk menghantar bekalan makanan ketika ini.

“Pihak UUM terus berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, badan bukan kerajaan dan beberapa pemimpin Islam termasuk menggerakkan alumni UUM di sana untuk membantu menghantar makanan, minuman serta ubat-ubatan.

“Bagaimanapun, arus deras di sekitar Hotel Wangburapa Grand yang berdekatan dengan sungai menyebabkan sebahagian bot kecil terbalik malah beberapa usaha menyelamat telah dilakukan dua hari lepas namun tidak berjaya kerana arus deras,” menurutnya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama

Beliau berkata semua pelajar dan staf UUM terbabit berada dalam keadaan baik dan sihat serta bersemangat tinggi sementara menunggu usaha untuk membawa mereka pulang.

Ahmad Marthada juga berkata pihak universiti mengesan terdapat seorang pelajar terbabit yang menghidap Talasemia dan ibu bapanya telah dimaklumkan mengenai situasi anak mereka di Hat Yai.

Beliau berkata UUM juga amat berterima kasih kepada masyarakat sekitar yang prihatin dan telah menyediakan makanan bubur nasi untuk pelajar dan staf universiti itu.

“Difahamkan, kerajaan juga telah mengambil pelbagai pendekatan untuk membantu membawa keluar pelajar-pelajar dan pensyarah UUM secepat mungkin. UUM juga telah menyediakan kenderaan untuk mengambil pelajar dan pensyarah berkenaan di laluan yang boleh dimasuki kenderaan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img