‘’Victor Chin usah berdrama…sebutkan saja siapa Ahli Parlimen itu’’ – Dr. Abu Hafiz

AHLI Majlis Pimpinan Tinggi PKR, Dr Abu Hafiz Saleh Hudin hari ini mendesak Ahli Perniagaan yang dikaitkan dengan isu Mafia Korporat Victor Chin untuk menamakan secara terbuka siapakah Ahli Parlimen parti itu yang menerima wang sebanyak RM9.5 juta daripadanya.

Katanya, dakwaan tersebut amat berat namun ia akan kekal sebagai satu dakwaan jika ahli perniagaan tersebut yang kini berada di London tidak menamakan atau tidak berani menyatakan siapakah Ahli Parlimen terlibat.

‘’Bagi saya, Victor Chin patut tidak berdrama panjang apabila beliau menyatakan akan menamakan Ahli Parlimen itu jika sehingga penghujung bulan Mac 2026, wang RM9.5 juta itu tidak dipulangkan kembali kepada beliau.

‘’Bagi saya sama dia pulang atau tidak, 30 Mac ataupun 31 Mac sekalipun, beliau perlu menamakan kerana negara ini bukannya (ada undang-undang) dengan menyerahkan kembali maka kes itu boleh ditutup…tidak!

‘’Beliau perlu untuk menamakan (Ahli Parlimen terlibat) dan berani untuk  balik ke Malaysia hadapi pertuduhan sekiranya anda adalah satu orang yang tidak salah,’’ katanya dalam kenyataan melalui rakaman video.

Semalam, pada sidang media di Sungai Buloh, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R.Ramanan dengan tegas menafikan beliau adalah ‘Mr R’ – individu yang didakwa menerima RM9.5 juta daripada Ahli Perniagaan Victor Chin.

Katanya, dakwaan oleh pihak tertentu yang mengaitkan beliau sebagai ‘Mr R’ adalah tidak masuk akal dan menegaskan hanya Victor Chin sahaja yang tahu siapa individu tersebut.

‘’ Hanya Victor Chin yang boleh jawab soalan itu, siapa ‘Mr R’. Tetapi saya sedar ada beberapa personaliti yang cuba mengaitkan saya dengan ini. Dia mendakwa ‘MR R’  itu saya, berjuta-juta saham dipindahkan kepada saya..buktikan (tuduhan itu)! (hakikatnya) Saya tidak ada pun pegangan saham,’’ tegasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Abu Hafiz berkata, beliau menjadi sangat bingung memandangkan ini kes kedua melibatkan dakwaan pemberian rasuah kepada ahli politik.

‘’Dulu ada satu kes yang satu orang yang tertuduh dikaitkan dengan negeri  Sabah , satu orang yang mengaku memberikan rasuah dan (orang itu) watak yang (sama seperti) Victor Chin yang ada pertuduhan yang banyak terhadap perlakuan dan tindakan jenayah.

‘’Tetapi (malangnya ia) diangkat kenyataan itu (dakwaan beliau) seolah-olah seorang hero, adiwira di dalam negara. Maka kompas moral kita itu mungkin perlu dilihat kembali kerana sangat bermasalah.

‘’ Apabila dikatakan tentang watak menteri kononnya ataupun seorang Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat, maka disenaraikan semua itu, maka ada yang menyatakan Mr A, Mr X dan Mr R termasuklah seseorang yang terlalu banyak dikritik dan tidak dipersetujui,’’ katanya.

Beliau berkata, dalam negara demokrasi sama ada ahli atau pimpinan PKR atau rakyat biasa boleh sahaja untuk bersetuju ataupun tidak bersetuju mengkritik seperti mana dialami oleh Ramanan.

‘’Namun apabila Mr R dikaitkan dengan beliau, Ramanan tanpa menunggu  24 jam hadir pada sidang media. Ada yang menyatakan beliau begitu defensif …itu terpulang, tetapi pada 25 Mac saya dan anda semua sudah melihat bagaimana beliau tampil di hadapan media beliau menjawab soalan memberikan penjelasan dan itu adalah sesuatu  yang perlu kita puji.

‘’Beliau bukan berselindung di balik mana-mana tembok-tembok kekuasaan, (disebabkan) ada tuduhan….walaupun tuduhan itu tidak disebutkan secara langsung kepada beliau, tetapi telahpun wujud di jagat maya bahawa nama Mr R itu dikaitkan dengan beliau,’’ katanya.

Sehubungan itu Dr.Abu Hafiz mendesak Victor Chin  untuk menyebut  sebutkan nama Ahli Parlimen yang bertanggungjawab memeras ugutnya.

‘’Walaupun pro kepada kerajaan MADANI kita tidak akan sama sekali untuk bersetuju dan kita memegang keyakinan komitmen Perdana Menteri , siapa pun kalian, kalian melakukan kesilapan melakukan kesalahan dan jenayah seperti ini tidak akan dilindungi , akan disiasat, didakwa bahkan dihukum melalui proses undang-undang dan dihukum di mahkamah,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img