Wakil Astro Awani Perlis rebah selepas tolak kereta terperangkap banjir – Polis

WARTAWAN sambilan Astro Awani di Perlis, Mohamad Asri Shafii ditemukan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Jalan Behor Pulai, Kangar pada jam 7.20 pagi ini selepas dikatakan menolak keretanya yang terkandas dalam banjir.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, hasil temu bual dengan saksi di tempat kejadian mendapati Mohamad Asri sedang melalui Jalan Behor dan kereta jenis Honda City yang dinaikinya terkandas dalam banjir.

“Kemudian, dia telah keluar untuk menolak keretanya sebelum rebah di atas jalan raya. Orang awam yang berada di tempat kejadian telah menolong Mohamad Asri dan diletakkan di bahu jalan yang ketika itu mendapati dia tidak lagi bernafas.

“Orang awam di tempat kejadian telah menelefon polis untuk meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Mohamad Asri, 49, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam bencana banjir di Hatyai, Thailand, dipercayai akibat serangan jantung.

Yusharifuddin berkata, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar telah pergi ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk proses selanjutnya.

Beliau berkata hasil semakan rekod perubatan, wakil Astro Awani itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan telah melakukan pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2011 sebelum dimasukkan sekali lagi ke hospital akibat komplikasi jantung pada 2014.

“Dia dibekalkan dengan pelbagai jenis ubat yang memerlukannya mengambil ubat tersebut setiap hari,” katanya.

Yusharifuddin berkata, hasil rakaman percakapan dengan isteri arwah, Norhanani Ahmad, 48, Mohamad Asri sepatutnya pulang ke rumah hari ini selepas membuat liputan banjir di Hatyai.

Sementara itu, anak ketiga daripada enam beradik Mohamad Arif Aqel, 16, berkata, arwah bapanya sempat menghantar pesanan ringkas memintanya tidur menerusi aplikasi WhatsApp pada 2 pagi tadi setelah bertanyakan keberadaan bapanya ketika itu.

“Saya tidak menyangka ayah akan pergi buat selama-lamanya kerana dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap … dia juga maklumkan akan pulang ke rumah di Taman Seri Pulai, Kangar selepas selesai tugasan di Hatyai, menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HTF hari ini.

Mohamad Arif Aqel berkata, keluarganya dimaklumkan tentang kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi oleh penduduk di taman perumahan berkenaan sebelum mengetahui bahawa kenderaan dinaiki arwah bapanya terperangkap dalam banjir ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mohamad Asri meninggalkan isteri, Norhanani dan enam anak berusia antara 11 hingga 20 tahun dan ada antara mereka yang sedang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor dan Kolej Pertanian, Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Beliau pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum menjadi wakil Astro Awani di Perlis.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img